Alhamdulillah saya dapat menghadiri satu majlis yang dinamakan Luncheon Talk Wasatiyyah di Dewan Perdana Felda siang tadi. Program ini dianjurkan bersama oleh Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) dan FELDA. Pembentang utama program ini ialah YBhg Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal bin Hassan. Berat betul tajuk yang dibincangkan, seolah saya berada dalam dewan kuliah universiti sebagai seorang mahasiswa mendengar Prof. Dr. Kamal menerangkan tentang pendekatan wasatiyyah dalam pembangunan Negara.
Walaupun kupasan Prof. agak berat namun saya rasa terpanggil untuk cuba menerangkan konsep wasatiyyah ini kepada umum kerana konsep ini amat penting difahami oleh semua umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh umat Islam di dunia umumnya. Apatah lagi YAB Perdana Menteri Malaysia telah menyarankan umat Islam di Malaysia supaya menghayati dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah di Majlis Perjumpaan Bersama Ulama' dan Umara' pada 5 Februari 2010 yang lalu. Perkataan wasatiyyah ini disebut dalam surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud, "Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (umat Islam) `umat pertengahan' agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu". Iktibar dari ayat ini kita dapati konsep wasatiyyah amat dituntut oleh Islam. Namun demikian penafsiran masyarakat umum terhadap wasatiyyah ialah konsep kesederhanaan. Tafsiran ini tidak tepat kerana pendekatan wasatiyyah sebenarnya adalah suatu pendekatan yang mengamalkan keadilan, mengutamakan kecemerlangan dan keseimbangan dalam segenap aspek kehidupan. Apabila salah pemahaman maka amalan seharian dan matlamat hidup seseorang itu juga tidak betul. Manakan tidak kita selalu dipesan agar bersederhanalah dalam hidup maka seluruh hidup kita akan fokus kepada kesederhanaan tanpa menekankan ciri-ciri wasatiyyah lain. Aspek kesederhanaan yang dimaksudkan adalah keseimbangan dalam semua aspek dan dalam masa yang sama mementingkan kecemerlangan masyarakat Islam dalam semua segi seperti ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan dan perpaduan dan akhirnya wasatiyyah mementingkan keadilan dalam setiap tindakan. Itulah dikatakan sangat penting kepada semua orang Islam memahami konsep wasatiyyah secara holistik (menyeluruh) bukan fahaman berbentuk serpihan atau cebisan.
Tujuan Allah menjadikan umat Islam sebagai umat pertengahan kerana kita merupakan masyarakat yang paling adil, cemerlang dan berimbang untuk menjadi saksi kepada umat atau masyarakat lain. Malaysia khususnya dan negara-negara yang ramai penduduk Islam di ASEAN telah menunjukkan contoh mengamalkan konsep wasatiyyah yang paling baik. Bentuk-bentuk wasatiyyah di Malaysia seperti tasamuh iaitu toleransi apabila berhadapan dengan agama lain seperti membenarkan pembinaan tempat ibadat agama lain, perkongsian kuasa politik di antara Muslim dan non-Muslim dan tidak mengambil pendekatan kekerasan. Konsep wasatiyyah ini telah wujud lama dari zaman Rasulullah saw lagi. Banyak lagi konsep lain seperti konsep jihad juga dituntut dalam Islam akan tetapi hanya difahami dalam konteks peperangan dan penentangan menggunakan senjata semata-mata sedangkan konsep jihad adalah lebih luas seperti jihad dalam menuntut ilmu dan sebagainya.
FELDA juga merupakan satu contoh organisasi yang mengamalkan wasatiyyah dalam segenap urusannya. Malah ia telah berkembang dan menjadi organisasi yang kuat dari sudut ekonominya, dari sudut pembinaan komuniti setempat yang mandiri dan FELDA telah meletakkan dirinya di peta dunia apabila menempa kejayaan dalam pembinaan rangkaian perniagaan di peringkat antarabangsa. Kejayaan FELDA ini menjadi inspirasi kepada masyarakat Islam di tempat lain dan di institusi-institusi Islam yang lain.
Saya berharap dengan sedikit perkongsian tentang ulasan mengenai pendekatan wasatiyyah di dalam pembangunan Negara yang telah dibentangkan oleh YBhg Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal bin Hassan ini dapat memberi serba sedikit kefahaman kepada para pembaca semua. Semoga ia memberi lonjakan kekuatan kepada kepada kita agar menyahut konsep sebenar wasatiyyah iaitu menjadi salah seorang umat Islam yang berimbang, cemerlang dan adil dalam setiap tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan