Iklan

Isnin, 30 September 2013

Sentuhan Dr Azizan Osman

Assalamualaikum dan apa khabar para suri yang bekerja di rumah, dari rumah atau di pejabat? Alhamdulillah saya baru selesai mengikuti satu program hebat anjuran Richworks Sdn Bhd di bawah bimbingan Dr Azizan Osman, mentor pemasaran nombor 1 di Asia. Program Intensif Jutawan Industri (IJI) 2013. Program ini dihadiri oleh ramai rakan-rakan usahawan dan bakal usahawan dari seluruh Malaysia dan ada juga peserta dari negara-negara jiran. Bagi yang belum menghadiri  apa-apa program beliau, usahakanlah untuk mengikuti apa-apa kursus atau program beliau di kawasan masing-masing. Rajin-rajin melawat www.azizanosman.com atau www.richworks.com.my kerana ada bermacam-macam jenis program yang dianjurkan. Ada yang percuma dan ada pakej-pakej istimewa untuk pelbagai kategori.  Namun demikian, rakan-rakan suri usah bersedih kerana saya akan kongsikan sains menjadi jutawan yang ditekankan oleh Dr Azizan dalam perniagaan walaupun anda belumpun menghadirinya. Manalah tahu anda boleh mempraktikkannya untuk perniagaan anda.
 
Sebelum itu saya nak berceloteh sedikit tentang suasana dan aura positif di program Dr Azizan Osman. Wow! Crowd audience yang begitu ramai iaitu 4,200 orang. Tepukan yang sentiasa bergemuruh dan jeritan yang lantang dan menyengat. Semuanya begitu bertenaga dan teruja untuk mendengar ceramah daripada Dr Azizan. Program terakhir yang pernah saya hadir dan mempunyai ramai peserta dengan aura seakan serupa dan penuh bersemangat ialah semasa saya aktif dalam skim jualan langsung (MLM) dahulu. Saya dapati latar belakang peserta, kebanyakannya sudah membabitkan diri dalam perniagaan sama ada secara kecil-kecilan, besar-besaran, separuh masa atau sepenuh masa. Lihatlah gambar-gambar yang sempat diambil. Apabila program bermula kami tidak dibenarkan mengambil gambar.
 


Pengajaran pertama Dr Azizan ialah mengenai the science of becoming a millionaire. Apakah itu sains menjadi jutawan? Formulanya TFCA.
 
Think or Thoughts iaitu cara pemikiran kita akan menentukan keputusan atau pencapaian kita. Seseorang jutawan perlu menggunakan buah fikirannya kerana melalui penjanaan idea, pengalaman dan pengetahuan seseorang boleh menghasilkan perniagaan. Semua idea, pengalaman dan pengetahuan ini merupakan perkhidmatan yang boleh dibayar.
 
Feeling. Seseorang yang ingin menjadi jutawan perlu ada passion iaitu perasaan ghairah atau keinginan yang tinggi untuk menghasilkan perniagaan yang mendapat keuntungan. Selain itu seseorang perlu menguasai emosi agar sentiasa tenang dan dapat membuat keputusan bijak.
 
Communication. Cara bercakap seorang jutawan sentiasa positif, sentiasa berkata ya, ya dan ya. Sekiranya seorang jutawan tidak mengetahui sesuatu perkarapun dia akan sentiasa mencari jalan bagaimana menyelesaikannya. Komunikasi para jutawan sentiasa positif dan bersifat membina.
 
Action. Tindakan. Seorang jutawan mesti mempunyai kerangka pemikiran (mindset) yang diselaraskan (power of alignment) terhadap tindakan segera (now or never), tindakan drastik (massive action), tindakan pantas (speed).
 
Oleh itu para suri sekalian cuba kita wujud atau bina 4 perkara ini dalam diri kita agar kita dapat mencontohi minda, emosi, cara komunikasi dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh para jutawan sebelum kita. Mungkin ada persepsi yang keterlaluan mengatakan dengan sinis impian jutawan ini, namun kalau kita tidak berusaha menjadi jutawan, kita akan ketinggalan. Kita tiada pilihan melainkan untuk menjadi kaya, berjaya dan bahagia. Dengan demikian, agama, bangsa dan Negara kita akan bertambah makmur dan gemilang. Katakan boleh dan insyaallah kita akan menjadi jutawan yang kaya, berjaya dan bahagia.

Ahad, 29 September 2013

Prasyarat Utama Kejayaan Suri

Pada hari ini saya ingin mengetengahkan prasyarat utama kejayaan suri yang bekerja di rumah atau suri yang ingin bekerja secara online di rumah atau sebagai seorang suri yang berjaya. Para suri atas kerjaya apa sekalipun mestilah memenuhi prasyarat utama ini iaitu berilmu pengetahuan.

 Apakah yang dimaksudkan dengan suri mesti mempunyai ilmu pengetahuan? Sudah tentu saranan pergi mencari ilmu ini datangnya dari firman Allah swt dalam surah Al-`Alaq ayat 1 dan 2 dengan maksudnya, "Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan." Rasulullah saw juga menekankan peri pentingnya menuntut ilmu ini dalam hadisnya yang bermaksud, "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Muslim." Apabila seorang suri mempunyai ilmu pengetahuan maka setiap tingkah laku, pandangan dan keputusan yang dibuat tidaklah semata-mata berpandukan akal fikiran sahaja kerana kadangkala keputusan melalui akal fikiran juga sering tersalah apatah lagi jika diringi dengan emosi dan nafsu. Kerana itu penting ilmu pengetahuan bagi seorang suri agar kita dapat menjadi orang yang bijak terutama dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga atau bidang yang diceburi.
 
 
Prasyarat ini amat penting kerana sebagai seorang anak gadis mestilah dia didedahkan dengan ilmu berumahtangga oleh kedua ibu bapa tentang peranannya menjadi seorang isteri. Seorang suami juga perlu mengajari isteri dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah untuk meniti rumahtangga dengan iman dan bahagia. Seorang isteri juga hendaklah mempelajari ilmu persediaan sebagai seorang ibu dan ilmu-ilmu berkaitan peranan suri bagi membantu suami seperti ilmu masakan, ilmu pengasuhan anak-anak, ilmu memupuk kasih sayang dan mengekalkan keharmonian berumahtangga.
 Perbezaan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dengan mereka yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan disebut dalam firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud, "Katakanlah : Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan." Oleh itu menjadi seorang suri yang mempunyai ilmu adalah sangat penting kerana ia akan membezakan dengan orang-orang yang tiada ilmu.
  
Sebagai contoh, suri yang bekerja di rumah mesti mempelajari ilmu pengurusan, suri yang bekerja di pejabat mesti mempunyai ilmu berkaitan tugas mereka dan suri yang membuat bisnes menerusi internet mesti mempunyai ilmu berkaitan website, blog dan facebook. Begitulah dalam konteks lain, seorang suri perlu mencari ruang dan peluang untuk mempelajari ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kemahiran diri dan menjadikan suri lebih bijaksana dalam setiap urusan seterusnya menjadi suri yang berjaya.
 

Jom para suri, jangan jemu menuntut ilmu hingga ke titisan akhir hidup kita.
 
 

Jumaat, 27 September 2013

KURSUS ALAHAI KURSUS

Cover Photo
 
Minggu ini minggu yang cukup sibuk bagi saya. Hari ini hingga Ahad saya akan pergi mengikuti Program Intensif Jutawan Intensif Edisi Khas 2013 di bawah kelolaan Dr Azizan Osman yang famous sekarang ni. Beliau merupakan mentor pemasaran yang begitu diperkatakan orang. Alhamdulillah pejabat menaja kami ke program ini, bukan senang kalau saya sendiri nak mendaftar ke program ini. Melihat jadualnya begitu padat sekali. Program dari jam 8.30 pagi dan berakhir jam 10.00 malam. Harap fizikal, emosi dan mentalku tabah dan kuat sepanjang program ini. Moga-moga juga saya dapat mengambil manfaat daripada program ini.
 
Hari ini semuanya kena bangun awal disebabkan mamanya kena pergi berkursus. Kebetulan abahnya juga akan outstation ke Perak. Nampaknya kenalah memandu berseorangan ke Kuala Lumpur, moga dipermudahkan harapnya. Biasa kalau sorang-sorang nervous sikit sebab jarang dah ke KL. Kalau ke Subang dan Shah Alam ok je. Seorang anak saya di sekolah asrama akan balik pulak petang ni. Aduss..semuanya kena disegerakan dan dibuat dengan cepat.
 
Dah lama tak berkursus, bagaimanalah agaknya. Doakan saya ye! Saya berharap agar saya diberi kekuatan mengurus semuanya ini. Sampai jumpa lagi semua, mungkin saya akan kongsikan pengalaman saya berkursus dengan mentor terkenal ini nanti. Adios, amigos, selamat hari Jumaat!

 

Khamis, 26 September 2013

Jom Ke Karnival Usahawan Desa 2013

Semalam petang sebelum balik kerja, bos saya dah ingatkan esok kita pergi karnival. Ok saya beritahu. Sesampainya saya ke pejabat harini, kami terus bertolak ke Karnival Usahawan Desa 2013. Saya terlupa, ingatkan pergi seminar, rupa-rupaya pergi karnival, kalau tak mesti saya pakai kasual je (penat tau menapak ke berapa ratus ke ribu gerai). Oleh itu siapa-siapa yang nak pergi ke karnival tolong ambil kira pemakaian anda, janganlah pakai kasut tinggi nanti terpelecuk susah. Selepas terpusing-pusing cari tempat letak kereta akhirnya kami parkir di tepi jalan. Kami sampai jam 11.00 pagi. Orang-orang yang datang just nice belum begitu ramai.
Belum apa-apa dah posing, he..he..
Di karnival ini macam-macam produk dari negeri-negeri di Semenanjung (sebab tak nampak dari Sabah dan Sarawak) dan ada agensi-agensi kerajaan yang menawarkan pinjaman kepada bumiputera mengikut jenis perniagaan macam MARA, KEDA (Kat Kedah), KETENGAH dan lain-lain lagi.

Tengoklah tu beraneka produk makanan, tanaman, pakaian, pertukangan, hiasan, herba, perubatan tradisional, spa dan banyak lagi. Tak tertulis rasanya.

Ikan pekasam Telok Raban, licin tester tu
 
 
 
Dalam pada tu, ternampak pulak juruhebah radio popular si FBI dan Fafau sedang mengendalikan segmen untuk pengunjung. Siapa yang take part dapatlah hadiah dari HotFm dan penganjur.

Program karnival ini telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin. Kami tak tunggu perasmian sebab dah terlalu letih sangat. Kami balikpun pukul 3 lebih dan kelaparan sebab tak sempat makan tengahari, asyik makan tester sepanjang gerai.
Tempe dari Johor
Boleh tahan juga pengunjung datang membelah-belah. Tengoklah makcik ni bawa tempe pagi tadi 6 ribu keping dari Johor dah tinggal sikit je kat atas meja tu. Tempenya cantik macam disalut plastik. Antara pembelinya termasuk saya dan kawan-kawan.

Oleh kerana karnival ini besar dan luas, bagi yang selalu ke tandas janganlah risau kerana kemudahan banyak disediakan cuma bawalah botol air mineral kerana kadang-kadang dalam tandas tiada bekas menadah air. Tempat solat juga banyak disediakan untuk keselesaan pengunjung semua. 

Pada sesiapa yang berkelapangan bolehlah bawa keluarga pergi ke Karnival Usahawan Desa. Karnival diadakan di Laman 1Malaysia Putrajaya. Selain melihat sendiri industri atau produk yang dihasilkan, bolehlah anda mengintai peluang menjadi agen atau stokis, lebih-lebih lagi untuk mereka yang menjual atas talian (online business). Karnival ini telah bermula pada 25 hingga 29 September 2013. Untuk mendapatkan info lanjut bolehlah layari http://www.kud.my/ atau di facebook mereka https://www.facebook.com/pages/Karnival-Usahawan-Desa-KUD2013/608338865893010.

Jom meriahkan karnival ini.

Rabu, 25 September 2013

Aneka Tanaman Di Kebun Kecilku

Hari ini saya nak menceritakan perihal kebun kecil di sisi rumah saya. Bukanlah tanah saya sebetulnya tapi tanah MBSAlah agaknya. Daripada terbiar tiada tanaman baiklah saya bercucuk tanam. Bukan apa, di samping mencantikkan pemandangan, pokok-pokok tersebut seperti langkah keselamatan kerana rumah saya berhampiran dengan simpang. Sering saja terjadi kemalangan jadi pokok-pokok tersebut sebagai pagar keselamatan.

Dahulu pokok pisang saya kerap berbuah, bertandan-tandan, selepas satu pokok ke satu pokok. Tapi pokok pisang ni kalau dah terlalu uzur akan memburukkan pandangan jadi apabila dibuat landscaping semula, pokok pisang saya ditebang semuanya. Sedih sungguh rasanya, benih pisang tu adalah benih pisang MARDI dari Langkawi, diberikan oleh abang ipar saya. Namun kesedihan saya terubat apabila anak pisang tumbuh semula setelah dicantas beberapa kali oleh si Bangladesh (Saya dah bagi amaran jangan potong lagi pokok pisang saya tu). Inilah pokok pisangnya, tapi kecil lagikan, bilalah nak berbuah. Sementara ni kalau teringin saya beli je pisang kat pasar.
Ini pula pokok durian belanda. Ia dikatakan baik untuk mengubati kanser. Saya beli anak pokok ni sebab saya teringat dulu di kampung kami memang ada pokok durian belanda. Bila dah banyak kamipun mesin buat air, bestnya minum campur ais pulak tu, hilang rasa dahaga. Moga-moga pokok ini terus membesar dengan baik dan mengeluarkan hasilnya.
Pokok yang cantik ni buluh madu. Benihnya kami ambil dari Kedah, dari rumah kakak ipar saya. Pokok buluh ni amat sesuai dibuat hiasan dan rebungnya boleh dimakan. Malah rebungnya lembut dan jenis yang bagus.
Tengok tu ada 2 batang rebung yang boleh diambil. Kalau lambat diambil rebung tu dah jadi buluh dan tak sesuai dimakan. Kalau rajin diambil rebungnya, ia akan cepat bertunas semula.
 
Inilah rupanya setelah diambil. Yang dalam bekas ni dah dipotong-potong untuk direbus sedikit supaya tahan lama barulah disimpan dalam peti sejuk. Di pasar tu selalunya dibubuh dalam air dan dijual dalam plastik. Rebung ni sedap dimasak bersama masak lemak ayam cili padi atau masak lemak perut (anak-anak tak suka perut) atau boleh direbus hingga lembut sebagai ulam dan dicicah dengan sambal belacan. Nanti saya kongsikan di lain siaran tentang resepi memasak menggunakan rebung.

Biasalah di kawasan rumah biasanya mestilah ada pokok serai dan lengkuas. Sekarang di pasar terutama di kawasan bandar dah tentu mahal. Eloklah kalau boleh ditanam sendiri. Lagipun menanamnya mudah sekali, cuma cucukkan ke tanah sahaja.

Pokok apa lagi yang ada di kebun kecilku ini. Hah! Yang ini pokok kelapa, dah besarpun tapi belumpun nak berbuah lagi nampaknya. Yang kerap berbuah di kebun saya ialah buah mangga dan buah ciku.




Cuba teka pokok di bawah ni pokok apa pula? Inilah pokok mengkudu. Nampak tak buahnya tu. Saya selalu nampak ada orang yang mengambil pucuk dan buah mengkudu saya. Tapi saya halalkan jelah mungkin dia ada penyakit tertentu. Buah dan pucuk mengkudu memang baik untuk mengubati penyakit kencing manis, untuk ulam-ulaman dan sudah tentu baik untuk kesihatan. Saya juga menanam pokok limau nipis, pokok jambu air, pokok kari dan pokok-pokok kecil lain untuk kegunaan masakan seharian. Semoga terang mata anda semua dengan entri ini. Diharap entri ini dapat memberi ketenangan kepada anda apabila dapat menjamu pandangan dengan kehijauan pokok-pokok dan tanaman. Sampai jumpa lagi di lain siaran.

Selasa, 24 September 2013

RESEPI APAM BAKAR

Saya mula merasai kuih ini di sebuah restoran Kelantan di Shah Alam setelah diperkenalkan oleh suami saya. Lantas saya terus jatuh hati dengan kuih ini. Rasanya sedap dan berempah sikit. Cerita suami saya kalau di Kedah kuih ini biasanya dihidangkan di kenduri kematian, betul ke! (Lupa saya nak pastikan kesahihannya kembali) Di Kelantan saya tak pasti. Tapi kami di sebelah Selatan Semenanjung iaitu di Johor dan Melaka rasanya tak ada kuih ini, kalau ada rasa dan bahannya lain.
Kebetulan kawan sekolah saya, Pn Adibah Azhari memang pakar dalam acara masak-memasak telah menunjukkan cara-cara membuat kuih ini di facebook beliau. Barulah saya tahu kuih ni senang sahaja ramuannya. Namun sukatannya tiada dan bahan-bahan di bawah mengikut sukatan dan penyesuaian saya. Resepi ini telah saya cuba dan praktikkan petang semalam. Hasilnya memang awesome. (Tak pernah sangka boleh buat kuih ni). Pagi ni siap bawa ke pejabat lagi. Walau bagaimanapun para pembaca boleh juga melihat resepi ini di blog-blog lain untuk melihat kaedah mana yang sesuai dengan anda.

Bahan A :  (ditumbuk halus atau dimesin)
1/2 labu bawang besar
11/2 inci halia
21/2inci lengkuas
1 sudu kecil lada hitam
1 batang serai
Bahan B :
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 biji telur
3 pisang (pisang yang dimakan bukan digoreng, banyak ikut suka)
1 tapai ubi (kalau tak suka tak payahlah letak)
Gula Melaka
Secubit garam
Air (agak-agak bancuhan yang sesuai buat lempeng, jangan terlalu pekat dan cair)

Cara Membuatnya :
Pisang dan tapai ubi dilenyek atau dilumatkan sehancur mungkin dan dicampurkan semua bahan dalam B. Apabila bancuhan telah sebati masukkan juga bahan A. Setelah digaulkan sehingga sebati, adunan disimpan selam 2 hingga 3 jam dengan ditutup mangkuk tersebut. Selepas itu bolehlah dibakar atas kuali leper atau kuali biasapun boleh. Jika ada kuali tidak melekat tak perlu letakkan minyak tetapi jika kuali biasa, untuk kali pertama letak sedikit minyak, ratakan dalam kuali tersebut. 


Ok dah siap apam bakar kita. Boleh makan begitu sahaja atau dengan kelapa parut seperti ini. 

Selamat Mencuba dan Menjamu Selera!

Isnin, 23 September 2013

KEMBARA KE BUMI SURYA (Bhgn 2)

Perjalanan kami seterusnya menuju ke Bandar Homs. Di sini terdapat Masjid Khalid bin Al-Walid, panglima perang Islam yang terkenal. Ramai orang berkunjung ke masjid ini mungkin sebab letaknya di kawasan bandar dan menjadi tempat tumpuan orang ramai. Berdekatan dengan Homs adalah Hama. Hama merupakan sebuah bandar lama. Di sini terdapat banyak kincir air lama yang berusia beratus-ratus tahun. Bentuknya masih lagi cantik tetapi ia tidak lagi digunakan.
Ini pula ialah Masjid Umayyad, letaknya di bandar Damsyik. Di dalamnya ditempatkan maqam Nabi Yahya as. Ia adalah masjid terbesar dan antara tertua di dunia. Pembinaannya juga dikatakan sebagai senibina Islam tertua dan terpenting dalam arkitektur Islam.
Masjid Umayyad
Di maqam Nabi Yahya as
Berdekatan masjid ialah Souq AlHamidiyah. Di depan souq ada pintu gerbang yang besar dan cantik. Nama souq bermaksud pasar tapi ia bukanlah pasar menjual barangan basah tetapi tempat ini menjual semua barang peralatan rumah dan keperluan harian sehinggalah bahan masakan seperti rempah-ratus. Kedai lampu, alas meja, tudung-tudung (salah satu sebab dinamakan tudung Syria agaknya sebab famous), pakaian, beg, langsir, permainan kanak-kanak dan banyak lagi. Harga di sini murah dan kalau dah penat membeli-belah ada kedai makanan dan minuman. Saya sekeluarga sempat menjamah kebab (sangat sedap) dan pisang lassi (pisang blend dengan susu). Suasananya macam uptown di Malaysia, meriah cuma yang berbeza ialah deretan bangunan kedainya nampak begitu lama, yelah dah lebih 1200 tahun lamanya tetapi masih utuh dan terjaga dengan baik. Selain itu, saya juga telah melawat beberapa tempat bersejarah dan menarik di Syria yang saya tidak ingat nama-nama tempat tersebut. Dah tentulah kerana perjalanan saya ini berlaku 8 tahun lepas dan saya tidak segera merekodkan kembara ini dalam album. Namun demikian saya kongsi beberapa photo ini untuk tatapan pembaca.

 



 



















Negara Syria dikatakan sebagai `pintu masuk sejarah dunia' kerana ia adalah kota yang tertua dan diduduki manusia sejak awal lagi. Banyak maqam para nabi dan sahabat-sahabat Rasulullah saw dikebumikan di bumi Syria. Namun akibat peperangan yang masih berlangsung, bandar-bandar di Syria banyak yang musnah. Lihat sahaja perbandingan antara Masjid Umayyad dahulu dan selepas peperangan. Marilah sama-samalah kita berdoa untuk keamanan Syria dan kemenangan umat Islam yang benar.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...