Iklan

Isnin, 8 Disember 2014

Ulasan Buku Ulu Yam di Liverpool

Memang awesome! Menarik, mengujakan dan amat mengesankan.

Buku Ulu Yam di Liverpool dah beberapa bulan dibeli oleh suami tapi aku pandang je, tak sempat baca. Hobiku memang membaca novel dan sebagainya. Tetapi semenjak jadi suri bekerja di rumah, masa agak terhad dan hobi ini dikesampingkan.

Entah macamana tertengok anak bujangku membelek-belek buku ini langsung aku ambik buat peneman menidurkan adik-adiknya yang lain. Bila dah baca satu bab rasa macam menarik sangat-sangat tapi bila membaca di kala tidur pastilah buku mengadap kita. Alhamdulillah hampir 2 minggu juga baru pembacaanku selesai. Episod dan sketsa pengalaman yang diceritakan turut membawa fikiranku melayang zaman kecil dan remajaku. Itu yang memakan masa agak lama barulah habis baca buku UYDL kerana dalam masa yang sama terkenang arwah ayahku jua dan perit jerih ibuku pada zaman lampau.

Inilah travelog ke 2 yang dibaca dan begitu menarik emosiku. Yang pertama travelog haji Prof  Dr Kamil. Edisi ini perlu dibaca oleh semua orang tanpa menunggu panggilan Haji. Yang ke 2 ialah kisah Ulu Yam di Liverpool (UYDL). Saya memang sukakan membaca buku travelog dan biografi kerana ia menceritakan kisah sebenar yang benar. Penceritaan gaya travelog lebih hidup dan mengesankan kerana berdasarkan pengalaman sebenar penulis. Saya juga suka membaca novel jika saya mempunyai masa terluang. Dah tentulah kisah travelog berbeza dengan cerita novel. Saya pernah berangan-angan menjadi penulis novel suatu ketika dahulu. Hihihi...akhirnya menjadi penulis blog...inipun dah cukup membahagiakan.

UYDL menceritakan perjalanan  dan kisah hidup penulis Nazali Mohd Noor dari kecil ketika di bangku sekolah sehinggalah berkahwin dan mempunyai anak-anak seterusnya berhijrah ke bumi Liverpool. Terlalu banyak kisah-kisahnya yang membangkitkan rasa sedih dan sayu atas pengorbanan sebagai seorang anak dan pengalaman dalam meniti hidup berumahtangga. Bagi saya buku UYDL ini memberi  pengajaran kepada setiap orang agar mempunyai semangat yang kuat, pandangan positif dalam hidup, panduan untuk pasangan mula berumahtangga dan harapan untuk hidup hidup bahagia di dunia dan akhirat.




Saya dah khatam kedua-dua buku travelog ni. Travelog kedua lebih menjurus kepada perpindahan Nazali dan keluarganya ke Liverpool. Saya kagum dengan semangat, cita-cita dan impian Nazali dan isterinya, Ain.

Jangan lepaskan peluang membaca dan menghayati buku yang menduduki senarai 'top ten' sepanjang tahun ini. Saya sudah, anda bila lagi? Tiba-tiba saya terus menjadi peminat Nazali Noor dan terlepas peluang bertemu dengannya di Liverpool baru-baru ini apabila rombongan kami ke UK bulan November yang lepas. Kini saya ternanti-nanti air tangan ke 3 darinya. Dengar khabar buku seterusnya akan muncul pada tahun 2015 ini.

Seronok membaca ni. Jom..jom..meriahkan diri dan hidup anda dengan membaca apa jua yang anda suka. Terapi diri anda dengan membaca. Hidup berilmu hidup berguna.

Sehingga ketemu lagi...assalamualaikum semua!

Selasa, 21 Oktober 2014

Resepi Pizza Roti Tuna

Termenung sebentar memikirkan juadah minum petang untuk keluarga dan anak-anak. Nak order pizza mahal pula. Jangan susah hati. Anda boleh buat sendiri pizza yang ringkas dan mudah menggunakan roti sahaja. 

Petang ni Hana sediakan pizza roti tuna untuk minum petang. Resepi ni amat mudah disediakan dan sekejap sahaja dah siap masak. Hana hanya menggunakan pemanggang serbaguna atau orang panggil kuali ajaib. Pizza edisi jimat ini memang disukai oleh anak-anak dan orang dewasa.

Bahan-bahannya :

Setin tuna (saya guna mild pedas)
Sebiji telur
Sebiji bawang besar (potong dadu kecil)
Sosej ikut suka (hiris kasar)
Filamen stick ikut suka (potong kasar)
Garam dan perasa jika perlu
Sedikit marjerin
Sedikit cheese untuk ditabur atas roti

Cara Membuatnya :

Masukkan marjerin dalam kuali dan tumiskan bawang sehingga layu, masukkan sosej dan filamen stick dan tuna. Agak2 kering tuna, sosej dan filamen stick dah masak, masukkan perasa atau sedikit garam jika perlu. Biasanya tuna tu dah masin.

Panaskan kuali ajaib dan sapukan roti dengan sedikit telur, disusun dalam kuali. Masukkan bahan2 yang telah dimasak tadi dan letak atas roti. Akhir sekali ditabur dengan cheese mozarella atau apa2 cheese kesukaan anda. Tutup kuali dan biar sebentar hingga cheese cair dan masak. Hati-hati api di dapur jangan terlalu besar nanti hangus roti.

Tara...pizza roti dah siap. Bolehlah anda mencubanya untuk juadah minum petang keluarga. 

Khamis, 9 Oktober 2014

Puding Custard Berkuah Sedap dan Ringkas

Hari ini aku menyempatkan diri membuat minum petang khusus untuk meraikan anakku yang baru selesai menduduki UPSR. Cabaran besar untuknya yang menghadapi peperiksaan tahun ini. Anakku yang seorang ni bukannya kaki studi, jadi penangguhan peperiksaan merupakan cabaran hebat untukku dan untuknya agar memastikan mood belajar sentiasa mekar. Jadi permintaannya untuk minum petang dengan puding custard terus ibu tunaikan.

Berbalik kepada resepi puding custard berkuah, menyediakannya memang mudah. Asalnya ini adalah resepi yang saya ikut dari ibu. Beliau memang gemar membuat puding custard untuk anak-anaknya.

Bahan-bahannya :

1. Sebungkus custard 300gm
2. Air
3. Susu isian sejat (cair) 3 tin (2 1/2 untuk kuah dan 1/2 tin untuk custard)
4. Gula pasir secukup rasa
5. Buah campuran (fruit cocktail) 1 atau 2 tin

Cara Membuatnya :

Masukkan sebungkus custard 300gm ke dalam periuk. Gunalah jenama apapun asalkan halal. Masukkan air dan dikacau sebati. Anggaran air sebanyak 3/4 periuk. Masakkan di atas dapur. Bancuhan dikacau sampai likat dan masukkan sedikit gula bagi rasa manis2 buah. Masukkan separuh tin susu cair ke dalam periuk. Apabila bancuhan mendidih dan nampak berkilat serta tidak terlalu cair, bolehlah ditutupkan api. Penting sekali kita sentiasa mengacau bancuhan tersebut di atas dapur bagi mengelakkan bancuhan menjadi berketul-ketul atau hangus. Bolehlah masukkan cutard ke dalam bekas-bekas yang disediakan. Biarkan sejuk dulu di luar sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Sementara itu bolehlah kita sediakan kuah puding custard. Masukkan 2 1/2 tin susu cair ke dalam periuk dan tambahkan setengah cawan air. Masakkan kuah susu di atas dapur. Apabila agak panas, boleh masukkan beberapa sudu gula pasir mengikut kemanisan yang kita sukai. Kacau kuah tersebut dan apabila mendidih ditutupkan api. Simpan dalam peti ais apabila sejuk.

Sebagai hiasan tambahan boleh gunakan 1 atau 2 tin fruit cocktail. Untuk hidangan anda boleh masukkan puding custard dalam mangkuk dan tuangkan kuah susu yang dimasak tadi dan dihiaskan dengan fruit cocktail.

Cubalah resepi puding custard yang sedap dan mudah disediakan ini. Sesuai sebagai pencuci mulut atau hidangan di waktu minum petang. Anak-anak juga pasti sukakannya. Ok itu sahaja resepi kali ini dari saya. Sampai jumpa lagi untuk lain-lain resepi dari Dapur Hana.

Rabu, 24 September 2014

Percutian keluarga ke Hong Kong

Bulan Disember 2013, kami sekeluarga telah pergi bercuti ke Hong Kong. Tambah menyeronokkan apabila lawatan ini disertai oleh abang ipar sekeluarga dan kenalan suami dan keluarganya yang memang kami saling mengenali. Apabila dah kenal, riuh-rendah sepanjang perjalanan dan dah tentu anak-anaklah yang paling gembira. 


Kepada mereka yang ingin berkunjung ke Hong Kong, semaklah dulu suhu dan cuaca di sana. Akibat salah komunikasi, kami mengandaikan suasana sejuk hanya seperti di Cameron Highland sahaja. Apabila berada di sana, keadaan sebenar cuaca amat sejuk, suhunya dalam 15 Celsius dan diselang-seli pula dengan hujan. Akhirnya terpaksalah kami `shopping' tambahan baju sejuk dan sarung tangan.


Sape pelakon dan penyanyi ni? Cuba teka.

Suasana di airport Hong Kong. Bersih dan ceria, lagipun Hari Krismas bakal menjelang tak lama lagi. Hiasan penuh dengan sambutan Hari Natal.

Kali ini agak lama juga kami menunggu beg diturunkan dari flight. Apa lagi, kamipun melepak beramai-ramai. Agak teruja juga kerana kami tak pernah lagi ke Hong Kong.

Di Hong Kong kami menempah sebuah bas. Ahli-ahli rombongan kami memang cukup-cukup satu bas. Dah lama tak naik bas rasa macam rombongan Cik Kiah ke Langkawi pula. 

Antara tempat yang kami berkunjung ialah Hong Kong Disneyland. Memang puashati dan menyeronokkan. Bukan sahaja pada anak-anak malah kami yang dewasapun rasa seronok. Jangan risau di dalam Disneyland ini ada restoran yang menyediakan makanan halal. 




Kami juga singgah  ke Madame Tussad. Sebenarnya Madame Tussad di mana-mana negarapun tidak jauh bezanya. Cuma ada tambahan figura patung lilin mengikut negara. Contohnya di London ada seksyen khusus tentang Harry Potter, di Hong Kong tiada.

Makanan halal untuk Muslim di Hong Kong ini sedap rasanya, ada restoran makanan Cina dan restoran makanan India. Makanan Melayu dan Thai setakat ni saya tak jumpa. Dalam suasana sejuk dingin, makan apapun memang sedap. Walau bagaimanapun kami membawa tambahan mee segera, nasi goreng Brahim dan biskut-biskut untuk menampung waktu-waktu kelaparan. Bawa anak-anak memang cabarannya begitu. Saya sempat singgah kedai serbaneka seperti 7-Elevan tetapi anda kena hati-hati dan perhatikan kandungannya kerana ia dibuat di negara China. Berbeza dengan Malaysia kerana sekurang-kurangnya kita ada sijil halal. 

Di Hong Kong ada `night market'. Lebihkurang macam `uptown' di Malaysia. Atau seperti pasar Ben Thamh di Vietnam. Harga memang amat berpatutan. Maaflah sebab saya kehilangan gambar-gambar di pasar dan gambar-gambar di restoran. Bila bertukar telefon kadang-kadang terlupa nak `upload' awal-awal.

Waktu malam di Hong Kong, anda akan dapat menyaksikan bangunan tinggi dan tersergam indah disinari dengan pertunjukan dan persembahan lampu dan cahaya yang beraneka warna. 

Kami juga dibawa ke Macau menaiki feri. Sistematik betul feri di sini. Tempat simpanan begnya macam dalam keretapi. Ada nombor dan kerusi yang tersusun.




Percutian `awesome' kali ini hanya sempat dipaparkan sebahagian gambar-gambar kenangan sepanjang bercuti di Hong Kong dan Macau. Untuk mereka yang inginkan kelainan memang bagus berkunjung ke sini, lebih-lebih nak bergembira bersama anak-anak. 

Sabtu, 6 September 2014

TERKINI ! Promosi Merdeka Miracle Refreshing

Alhamdulillah, CEO Miracle Refreshing (MRS), Puan Nur Hidayah baru sahaja melahirkan cahayamata sulungnya, seorang bayi perempuan yang sangat comel semalam. Moga Puan CEO dan bayinya sihat walafiat. Atas anugerah sempena sambutan hari Merdeka dan hari Malaysia serta penantian terhadap kelahiran cahayamata, Puan CEO tak henti-henti membuat promosi terhadap produk MRS. Baru selesai promosi Syawal, kita sambung dengan promosi Merdeka pulak. 

Bagus ke bagus!!!

Seronokkan, boleh beli MRS dengan harga lebih murah dan lebih jimat gitew!! Rugi...rugi kalau tak rebut peluang ini.

Promosi bermula 25 Ogos lepas sehingga 25 September 2014. Sesiapa yang bijak sudah tentu pandai membeli sewaktu promosi. Yalah harga jual sebotol 30ml ialah RM39.90 dan sebotol serum 100ml ialah RM39.90. Jumlahnya ialah RM79.80. Semasa promosi ini harga jualnya hanya RM70.00 sahaja. Anda akan dapat 2 produk terbaik dari Miracle Refreshing. 


Boleh baca kebaikan dan khasiat penggunaan minyak serbaguna dan ajaib di bawah ini. Boleh dimanfaatkan untuk seisi keluarga, dari peringkat usia warga emas sehingga bayi. Ia boleh digunakan untuk berbagai-bagai situasi yang anda alami. 


Produk terbaru MRS ialah serum. Ia diperbuat dari pati epal hijau dan mint. Digunakan khususnya sebagai syampoo dan mandian badan. Ia tidak berbuih seperti kebanyakan produk lain kerana ia tiada kandungan bahan kimia. Semestinya ia dicipta menggunakan bahan organik. Jika anda tidak biasa, campurkan sahaja dengan syampoo yang anda guna sekarang untuk cucian rambut dan kepala. Begitu juga dengan mandian badan. Sudah pasti anda akan berasa segar. Kepala yang berat akan menjadi ringan, berangin dan segar. Amat sesuai dan serasi jika anda sering sakit kepala, migrain, tertekan dan kepenatan apabila balik dari bekerja. Cubalah hari ini!



Bertukarlah ke produk buatan Malaysia, buatan orang Islam, lebih suci, lebih dipercayai dan lebih manfaat insyaallah.

Nak dapatkan set promosi ini boleh hubungi (sms/wasap/telegram) Hana di talian 0133510426. Anda boleh juga melayari page Miracle Refreshing Hana untuk membaca lebih baca testimoni dari pelanggan-pelanggan kami.

Jumaat, 5 September 2014

Memasak Terapi Terbaik Buat Suri

Saya bukanlah seorang tukang masak apatah lagi seorang chef. Tetapi saya memang suka memasak jika saya ada kelapangan. Waktu bujang-bujangpunsaya dah biasa membawa bekal ke pejabat. Nak jimatlah katakan. Resepi popular mestilah ikan sardin, hehehe... Dahulu semasa saya bekerja memang sayapun dah terbiasa memasak sarapan untuk anak-anak ke sekolah dan sebagai bekalan saya bekerja. Saya juga sempat menyediakan satu atau dua lauk makan tengahari untuk anak-anak. Walaupun dahulu saya mempunyai pembantu rumah tetapi saya lebih suka memasak lauk utama. Senangkan jadi pembantu rumah saya! Semua dah tersedia, panaskan lauk dan masak nasi sahaja. Tapi itu dahulu.. Sekarang saya seorang suri rumah. Pembantu rumahpun telah saya hantar pulang. Lagipun tak banyak kerja yang perlu dibuat selain dari melepak. 

Memasak ini juga merupakan salah satu hobi saya. Saya suka menyediakan juadah yang mudah dan praktikal. Sebab itu saya lebih suka memasak lauk-pauk berbanding kek dan biskut. Apabila ada resepi-resepi baru yang nampak enak, mudah dan sesuai dengan anak-anak, saya pasti mencubanya. Kalau tak sempat, saya akan menyimpan resepi tersebut dan mencubanya bila lapang.

Rupa-rupanya memasak juga merupakan satu terapi buat saya. Para suri yang lain bolehlah cuba. Apapun yang kita lakukan pastikan kita suka walaupun kurang minat. Tetapi ada beberapa syarat kerana kalau memasak dengan muka yang masam atau dengan paksaan, secara tidak langsung makanan tersebut kurang kesedapannya. Kalau tak pahalapun kurang.

Jom hayati syarat-syaratnya seperti berikut;

(a) Memasak dengan rela hati, sebagai rasa tanggungjawab seorang ibu, seorang isteri, seorang kakak atau seorang anak
(b) Memasak sekadar keperluan hendak makan, jangan terlalu banyak, khuatir jika tidak habis dan terbuang, dah jadi satu pembaziran. Pembaziran inikan kawan syaitan.
(c) Memasak dengan penuh kasih sayang supaya masakan tersebut jadi sedap dan enak. Insyaallah hubungan ahli keluarga akan menjadi lebih erat.
(d) Memasak dengan jiwa yang tenang. Kalau tak ada yang terpotong jari nanti. Fikirkan  yang baik-baik dan jaga emosi anda.
(e) Memasak dengan ayat-ayat AlQuran dan alunan zikir. Contohnya memulakan dengan bismillah dan membaca selawat ketika membasuh beras. Insyaallah makanan kita akan diberkati, yang sedikit akan menjadi cukup dan sedap.
(f) Sebolehnya memasaklah dengan bahan-bahan yang mencukupi supaya menepati resepi yang ingin dimasak.
(g) Memasak dengan naluri keibuan.
(h) Nikmati dan rasai (enjoy and feel) diri anda ketika menjadi `chef' di dapur.

Di bawah ini adalah di antara menu yang mudah dan boleh dibuat oleh semua suri sama ada yang bekerja di rumah mahupun di pejabat. Ada antaranya juga telah dikonhsikan resepinya dalam blog ini. Mungkin satu hari nanti saya akan membuat ebook resepi mudah  dan ringkas untuk para suri. Doakan ya!





Isnin, 18 Ogos 2014

Promosi Syawal 1435H Miracle Refreshing Spray

Promosi Miracle Refreshing Spray kembali lagi. Kali ini dengan pakej promosi Syawal berharga cuma RM130, anda akan mendapat sebotol 50ml, sebotol 30ml dan sebotol serum 100ml. Anda boleh buat pilihan haruman sama ada sweet atau elegant untuk botol 50ml dan 30ml. Kos pos juga percuma. Anda jimat sehingga RM26.70. Dapatkan satu set hari ini.


Miracle Refreshing Spray diperbuat daripada minyak kelapa dara dan minyak mint serta diperkaya dengan aromaterapi. Manakala Miracle Refreshing Serum merupakan keluaran produk baru kami yang diperbuat daripada pati epal dan mint. Serum ini khusus digunakan untuk syampoo dan mandian badan.


Apabila sesuatu produk itu bagus dan memberi kesan maka ia akan terus-menerus memberi sentuhan kebaikan kepada mana-mana insan yang menggunakannya, alhamdulillah. Bacalah testimoni-testimoni yang dikirimkan oleh pelanggan hasil maklumbalas penggunaan produk Miracle Refreshing ini.



Dengan adanya MRS yang merupakan produk orang Islam dan bebas dari bahan kimia telah dapat menambahkan nilai hidup orang lain. Bestkan begitu! Rasa bahagia apabila rakan-rakan kita berpuashati dan suka dengan kebaikan MRS.

Kami juga akan terus-menerus menyebarluaskan kebaikan MRS supaya lebih ramai orang dapat menggunakannya untuk seluruh ahli keluarga mereka. 



Sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh sms/wasap Hana 0133510426. Selepas Syawal, harga kembali seperti biasa iaitu MRS 50ml-RM69.90, MRS 30ml-RM39.90 dan MRSerum 100ml-RM39.90.

Jom sebarkan kebaikan MRS untuk kesejahteraan hidup semua orang. Moga manfaatnya dapat dinikmati oleh semua orang.

Ahad, 17 Ogos 2014

Coretan Jakarta 2014

Alhamdulillah....Jun  2014 saya berpeluang ke Jakarta menemankan suami yang ada urusan di sana sambil menikmati liburan. Apa yang ada di Jakarta selain jalannya yg macet (jem)? Belum sampai lagi jalan macet dikatakan sinonim dengan Jakarta. Memangnya kebanyakan bandar dan kota besar memang sesak jalanrayanya. Tapi tak perlu difikirkan sangat, yang penting hayati 'keindahan' negara tersebut. 

Waduh! Yang pasti enak di Jakarta ialah makanannya. Pertama kali saya menikmati ketam nipah yang dimasak lada hitam. Memang sedap. Makanan di sini ala-ala makanan di Malaysia. Kalau anda ke Jakarta, carilah restoran yang masyhur ini, namanya Restoran Sedap Malam. Lepas itu kita dihidangkan pula dengan buah-buahan pilihan kita seperti mangga, manggis atau tembikai. Kalau ada kelapangan memang saya ingin lagi berkunjung ke sini. Memang terbaik makanannya.

Ketam nipah masak lada hitam

Ikan bawal emas masak asam pedas

Mangga yang segar dari ladang

Suasana dalam kedai

Pilih2 mana yang berkenan

Suasana di dapur

Dah kenyang barulah boleh bergambar ye!

Kalau di Malaysia sudah banyak restoran Indonesia yang dibuka. Salah satunya ialah Restoran Sari Ratu. Bila kami berkesempatan menjamu selera di restoran ini, makanannya terasa lebih sedap dari yang ada di Malaysia walaupun ia di bawah jenama restoran yang sama.

Satu lagi restoran yang enak juga ialah Restoran Rempah Kita. Makanan yang dihidangnya ialah makanan Indonesia. Sepanjang 3 hari di Jakarta, berat sayapun bertambah, haha... Tetapi rugi pula kalau menahan selera di sini. Apatah lagi makanannya memang sedap dan menyelerakan.
Lepas makan kita posing ya!

 Cantik restoran ini

Satu lagi kesukaanku apabila berkunjung ke sini ialah singgah ke gedung atau toko bukunya. Antara yang sempat kami pergi ialah Toko buku Gunung Agung dan Toko buku Gramedia. Biasanya karya-karya terbaru peringkat antarabangsa sama ada dalam bahasa Inggeris atau Arab cepat diterjemahkan dalam bahasa Indonesia berbanding dengan dalam bahasa Malaysia. 

Pemandangan dalam toko tersebut

Meriah dengan buku!

Yang ini lagi best. Di Jakarta rupa-rupanya meriah dengan 'shopping mall' yang besar dan cantik. Memang seronok cuci mata melihat butik-butik di situ dan melihat gelagat orang-orang kaya Indonesia. Kebetulan waktu itu ada promosi jualan pertengahan tahun (macam kat Malaysia juga) dan matawang Indonesia jatuh rm1 bersamaan 3500 rupiah. Berbaloi juga membeli pakaian untuk anak-anak.

Bila ada kesempatan, saya berhasrat umtuk ke Jakarta lagi. Selain matawang yang murah, tempat-tempat makannya juga bagus. Harap dapat membantu anda mengatur aturcara perjalanan jika ke Jakarta nanti.

Ok..sampai jumpa lagi dengan kisah perjalanan yang lain pula.

Salam sayang dari Hana.

Rabu, 6 Ogos 2014

Nostalgia Ramadan dan Aidilfitri 1435H

Salam Aidilfitri kepada semua pengunjung.

Masa memang pantas berlalu. Seingat saya seperti baru semalam tibanya bulan Ramadan, bergegas bangun awal untuk menyediakan hidangan bersahur dan rutin mengejut anakanda-anakanda yang lena. Sepanjang Ramadan memang padat jadualnya. Sedapat mungkin kami berbuka puasa dengan juadah yang saya sediakan. Merasa juga beli juadah di bazar Ramadan sekali dua terutama jika tak sempat sampai ke rumah apabila ada urusan. Tahun ini merupakan tahun pertama saya berpuasa dan beraya sebagai suri bekerja di rumah sepenuh masa. Masa di hujung minggu juga padat kerana anak-anak di asrama dibenarkan pulang hampir setiap minggu. Yalah merekapun suka dapat berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Persiapan pakaian anak-anak memang telah saya bereskan sebelum Ramadan kerana khuatir sayapun tak sempat kerana urusan bisnes sambilan di rumah. Alhamdulillah syukur ramai yang mendapat manfaat dari minyak serbaguna Miracle Refreshing dan serumnya yang baru dilancarkan. Ramai juga yang menempah acar dan sambal untuk meningkatkan selera ketika di bulan Ramadan dan Syawal. Moga produk-produk ini dapat menambah nilai kehidupan setiap keluarga. 

Kemeriahan sambutan ibadah di bulan Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri 1435H dikejutkan dengan insiden MH17. Allah mengajak semua hamba-hambaNya berfikir di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Mari kita sedekahkan alfatihah kepada semua umat Islam sama ada mereka yang telah pergi disebabkan kejadian MH17, MH370 atau pergi dalam apa jua keadaan kerana panggilan Ilahi mahupun kepada yang masih hidup. Moga Allah berikan kita kekuatan, kesabaran dan kemenangan. Alfatihah...

Hari Raya pada tahun ini kami sambut dengan penuh kesederhanaan di Pendang, Kedah. Paling gembira apabila semua adik-beradik dan sanak-saudara berhimpun beramai-ramai. Anak-anak saudara yang kecil semuanya dah meninggi dan membesar malah ada yang sudah mempunyai anak. Tahun ini kami rupa-rupanya dah bergelar `Tok Cik'. Moga tingkatnya umur kami selari dengan tingkatkan amalan kepadamu, ya Allah. Sesungguhnya Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya melalui berbagai-bagai cara. Hanya terpulanglah kepada kita mengambil iktibar atas peringatannya. 

Berada di kampung terasa banyak perkara perlu diperhati dan disumbangkan. Yang tinggal hanya warga emas dengan kudrat yang terhad manakala sumber alam amatlah luas. Moga Allah kurniakan kecekalan yang tinggi, semangat yang kuat dan keimanan yang mantap kepada kami dan anak-anak umat kami ini. Janganlah kami terus alpa dan lalai. Syukur, kami masih diberi kesempatan mengecap nikmat yang Allah kurniakan. Namun jangan dilupakan kepada saudara-saudara seIslam kita yang sedang berjihad dalam peperangan di Syria, di Palestin dan sebagainya.

Masih ada kesempatan untuk tambahkan amalan, rebutlah pahala berpuasa sunat sebelum berakhirnya bulan Syawal seperti berakhirnya bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Saya doakan para pembaca sekalian dilimpahkan rahmat Allah dan diberi kekuatan untuk terus berkarya dan menyumbang kepada agama dalam ruang lingkup masing-masing.

Salam kemaafan dari saya jika ada bicara yang mengusik jiwa. Salam Aidilfitri dari saya sekeluarga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...