Iklan

Jumaat, 21 Ogos 2015

Tips Suri Kendali Masalah Anak

Salam ceria di hari Jumaat yang indah dan penuh barakah.

Kebetulan hari ini mengadap notebook dapatlah saya menjengah blog saya yang hampir bersawang. Penangan gajet seperti telefon canggih menjadikan saya kurang berinteraksi dengan komputer sekaligus menyebabkan saya tidak kemaskini berita dan cerita sebagai suri yang bekerja di rumah. Padahal perkongsian di deraf masih banyak yang belum sempat diedit. 

Hari ini saya nak kongsikan pengalaman saya mengendalikan masalah anak perempuan saya. Pukul 6 pagi tadi anak perempuan saya dah tercangok menemani saya di dapur sambil mukanya mencuka sahaja. Ini mesti ada hal ni getus hati saya. Biasalah menjadi suri di rumah, setiap pagi agak kalut sedikit sebab nak menyiapkan sarapan dan bekal anak-anak. Mujurlah pakaian saya gosok 2/3 hari sekali. Jadi taklah mengadap seterika hari-hari. Pernah juga menggosok seminggu sekali tetapi saya tak sanggup sebab tak sempat buat kerja lain. Saya ni suka menggosok secara santai sambil mendengar radio atau televisyen dan terus berjoging atau bersenam selepas itu.

Berbalik kepada cerita tadi, sambil saya memasak, diapun menyatakan keengganan untuk ke sekolah pada pagi ini. Bila saya tanya dia jawab dia penat. Kaunseling sambil membuat kerja di dapur memang tidak menjadi untuk anak perempuan saya. Dia pula seorang yang manja walaupun mempunyai seorang adik di bawahnya. Pantas saya sudahkan urusan memasak dan menyediakan bekal untuk anak-anak. Saya buatkan segelas milo dan hidangkan bersama roti sebagai alas perutnya sebelum ke sekolah. Sayapun duduk di sebelahnya sambil menemankan dia bersarapan. Straight to the point saya bertanyakan dari hati ke hati tentang masalahnya, adakah bermasalah dengan guru ke, masalah pelajaran atau masalah kawan-kawan sekolah. Anak saya cuma menggeleng-gelengkan kepala dan masih enggan ke sekolah.

Ooo..susahnya nak break the ice berbeza dengan kakaknya yang memang suka berterus-terang. Sayapun mula bercerita tentang saya semasa di sekolah dahulu. Adakala saya dapat guru yang garang dan pernah mencampakkan buku saya ke lantai dan saya sering dimarahi kerana tidak pandai. Zaman dahulu saya bersekolah di bandar. Dalam kelas saya ada seramai 40 orang hanya ada 8 orang murid Melayu. Sayalah sering mendapat nombor 30 dan ke atas. Kemudian anak saya menjawab cikgu-cikgunya ok. Dia tak nak ke sekolah hari ini. Dalam hati saya, wah sudah ada maklumbalas, sudah pasti ini bukan masalah cikgu, mesti masalah kawan-kawan sekolah.

Sayapun meneruskan cerita yang lain pula sambil menemankan dia bersarapan. Saya beritahu anak saya, kawan-kawan sekolah saya ada Melayu, Cina dan India. Saya berkawan je dengan semua orang. Adakala kawan-kawan yang baikpun tinggalkan kita kerana dia berjumpa kawan-kawan baru. Tapi saya ambil sikap tak kesah, kalau kawan lama tinggalkan kita, saya berkawanlah pula dengan kawan yang lain. Satu lagi saya suka sangat pergi ke perpustakaan jadi saya berkawan dengan buku. Saya selalu tolong angkatkan barang-barang cikgu. Mula-mula mungkin terasa tetapi apabila saya jumpa kawan baru, selalu jumpa cikgu dan berkawan dengan buku, akhirnya saya gembira dengan apa yang saya buat. Lama-kelamaan kawan-kawan lama yang tinggalkan kita akan kembali semula berkawan dengan kita. Akhirnya barulah anak saya membuka mulut dan memberitahu bila dia bersembang, kawan-kawan tak layan. Dalam hati rasa nak tergelakpun ada. Tetapi ingatlah mungkin kita sebagai ibu bapa rasa masalah itu remeh tetapi pada kanak-kanak masalah itu berat, mencabar dan mengganggu emosinya. 

Yang saya gembira sebab masalah yang anak saya pendam akhirnya dah terlerai. Tentu diapun rasa lega. Saya juga bagi alternatif kepadanya bila sampai ke sekolah awal boleh jumpa kawan-kawan kelas yang lama, boleh bersembang-sembang atau berjanji untuk jumpa semasa rehat. Jadi taklah rasa tertekan dengan kawan-kawan di kelas yang sama. Mungkin juga faktor kawan-kawan masih baru dan kurang serasi. (Pada tahun ini pihak sekolah membuat pertukaran kelas di pertengahan tahun bergantung kepada keputusan peperiksaan tengah tahun. Jadi anak saya telah ditukarkan kelas yang lain).


Alhamdulillah setelah sesi bercerita yang disulami dengan luahan rasa anak, nampaknya anak saya lebih bersemangat dan ceria. Saya cepat-cepat menyuruhnya bersiap dan saya tawarkan dia ke sekolah lewat sedikit kerana saya akan menghantarnya. Biasanya anak saya akan ke sekolah bersama ayahnya yang hendak ke pejabat sebelum jam 7 pagi. Nampaknya dia suka dengan idea tersebut. Ibupun rasa lega tengok anak dah tak monyok.

JIka rakan-rakan suri mengalami situasi sebegini, yang penting minta anak berkongsi masalahnya dengan kita supaya dia tidak rasa terbeban. Sebagai ibu kitapun akan rasa tak senang bila anak kita tidak ceria seperti biasa, bimbang jika ada masalah yang serius dan berat. 

Di dalam kereta saya terus menasihatkannya bahawa keadaan di sekolah itu hanya sebahagian sahaja contoh perilaku dan watak manusia. Apabila dia memasuki alam sekolah menengah, alam universiti dan alam pekerjaan kelak, ada bermacam-macam lagi ragam manusia yang akan ditemui. Jangan takut nak berdepan dengan masalah. Jika kita dapat hadapi masalah di sekolah rendah insha allah masalah-masalah lain juga akan dapat diselesaikan. Allah beri seseorang itu cabaran memang berdasarkan kemampuan seseorang itu. Selalu berdoa dan mohon kat Allah untuk memudahkan urusan pembelajaran dan hidup kita. Sebagai ibu bapa kita perlu bantu memikirkan cara penyelesaian sesuatu masalah bukan terlalu memikirkan dengan mendalam masalah tersebut. Jangan terlalu sensitif sehinggakan emosi terganggu dan menyukarkan kita membuat keputusan yang betul. Ajar anak-anak menyelesaikan sedikit demi sedikit masalah yang dihadapi. It's ok to feel sad but doesn't mean it will ruin your life.

Sebagai kesimpulannya jika anak-anak mengalami masalah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang ibu ;

1.Kenalpasti keadaan anak sama ada mempunyai masalah atau tidak.
Kadang-kadang ada juga anak-anak yang tidak memperlihatkan masalah mereka. Cuba perhatikan sikap mereka adakah sama atau berbeza sepanjang masa.

2.Luangkan masa hanya untuk anak tersebut sahaja
Ada anak-anak yang tidak mahu meluahkan perasaan apabila berada bersama adik-beradik mereka.

3.Beri masa untuk anak meluahkan masalah
Jangan terlalu mendesak anak-anak apabila mereka tidak bersedia meluahkan masalah mereka.

4.Bercerita pengalaman ibu sebagai pelajar supaya mereka tahu kita pernah mengalami masalah yang sama.

5.Berkongsi perasaan dan memahami perasaan anak yang menghadapi situasi sedemikian (empati).

6.Beri dan cadangkan beberapa solusi kepada anak-anak agar mereka boleh praktikkan dalam penyelesaian masalah.

7.Nyatakan harapan kita sebagai ibu bapa dan jaminan Allah sentiasa ada. 

8.Sebagai ibu sentiasa berbincang dengan suami agar dia mengetahui situasi anak dan dapat sama-sama membantu.

9.Sentiasa menyokong dan raikan pendekatan positif yang mereka lakukan.

10.Sentiasa memeluk dan mencium anak-anak.

11.Sentiasa berdoa untuk anak-anak dan memohon kepada Allah agar kita dapat menjadi ibu bapa yang terbaik.

Moga sedikit kisah dan tips ini dapat membantu para ibu mengendalikan masalah anak-anak seterusnya menjadi ibu-ibu prihatin yang selalu menyokong anak-anak supaya menjadi insan yang kuat dan berbudi pekerti mulia.
Psssttt...anak saya balik tadi dah happy je...seolah-olah macam tak ada apa. Feel happy for her too! 

4 ulasan:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    BalasPadam
  2. Haha puan, anak-anak memang sangat comel kan. Cara puan sangat sama dengan saya. Kadang-kadang anak-anak ini perlukan "me-time' juga dengan ibunya. Saya suka cara puan korek rahsia anak tu :)

    BalasPadam
  3. bagusnya...tips yang hebat...masukkan diri ibu dalam situasi anak...barulah anak ringan mulut nak bercerita....

    BalasPadam
  4. Terima kasih puan atas panduan yang diberikan. Setiap anak memang berbeza perangainya walaupun keluar dari rahim yang sama. Pendekatan yang puan guna ni bolehlah nanti saya cuba pula pada anak saya.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...