Iklan

Sabtu, 19 April 2014

Resepi Terung Masak Berlada

Ramai juga yang suka resepi terung masak berlada atau disebut juga terung goreng bercili. Kebetulan anak ketiga saya, Ziyad tiba-tiba asyik teringin makan menu yang satu ni. Masa tu kami makan di Restoran Sari Ratu. Bila anak dah suka, ibupun apalagi mestilah mencari bahan-bahan untuk memasaknya. Tak sangka pula komennya, sambal ibu lebih sedap dari restoran. Haha...kembanglah hati si ibu dan bermula dari itu hampir setiap hari ibu memasak menu tersebut. 

Kebetulan juga ramai para suri yang suka dengan resepi terung masak berlada. Sifu saya dalam Akademi Bekerja Di Rumah, Cikgu Zaila turut memohon resepi semasa saya ada urusan di luar tempohari. Apalagi kami saling berwhatsapplah. Oleh sebab itu, untuk tidak menghampakan semua teman-teman yang dikasihi, saya nukilkan resepinya di sini.

Bahan-bahannya :

1. 3 batang terung panjang sederhana besar (terung bulatpun boleh)
2. Cili merah - 6-8 biji (boleh tambah 3-4 cili padi jika mahu pedas)
3. Bawang merah - 6 biji
4. Bawang putih - 4 biji
5. Bawang besar - Setengah/ 1 biji dihiris kasar (kalau mahu)
6. Sedikit ikan bilis atau boleh diganti dengan setengah kiub bilis (kalau serbuk dalam 1 sudu kecil)
7. Sedikit gula dan garam

#Bahan-bahan ini boleh disesuaikan banyaknya mengikut banyak mana terung yang dimasak. Practice and adjust will make perfect, insyaallah.

Cara Memasaknya :

Terung tersebut bolehlah dihiris menyerong atau menegak, kecil atau besar mengikut kreativiti masing-masing. Semasa memotong lihat juga kalau ada yang busuk di dalamnya dan perlu dibersihkan. Biasanya terung panjang jarang yang rosak, terung bulat yang mudah rosak di dalamnya. Kami suka terung yang panjang kerana yang bulat sedikit keras jika tidak dimasak lama. Setelah dibasuh, terung digoreng dengan sedikit minyak atau boleh juga diibakar menggunakan kuali yang tidak melekat. Setelah masak, asingkan ketepi.

Dengan menggunakan minyak yang sama, kita bolehlah menumis bahan-bahan lain. Kalau minyak banyak, keluarkan dahulu sebahagian. Bawang merah, bawang putih dan cili merah ditumbuk atau dimesin kasar (jangan mesin terlalu hancur seperti mesin cili kering). 


Tumiskan kesemua bawang tersebut, masukkan juga kiub ikan bilis/ ikan bilis dan bawang besar. Api jangan terlalu besar dan dikacau-kacau sehingga masak dan nampak sedikit garing. Bolehlah tambahkan garam dan gula secukup rasa. Semua bahan dalam kuali dikacau agar sebati dan akhirnya dimasukkan terung-terung tadi. Gaul balikkan terung dan bahan tumisan dan masakan anda sudahpun selesai. Bolehlah dihidangkan buat keluarga tersayang.


Taraa... dah siappun. Senang je.. kan! Bolehlah tunjukkan skil anda di depan suami, anak-anak, ibu bapa, mertua dan kawan-kawan yang berkunjung ke rumah.

Bagi yang ingin kelainan, boleh juga campurkan kentang atau ayam dalam masakan ini. Maknanya terung dengan kentang atau terung dengan ayam. Jangan lupa gorengkan ayam atau kentang terlebih dahulu. Macam saya sesekali campurkan terung dengan ayam sebab dah jemu makan terung je...Tapi anak-anak ni tak bosan pulak ye..

Mudah, ringkas dan senang sahajakan resepi ini. Cubalah resepi ini di rumah. Dah tentu lebih bersih, lebih sedap dan lebih menjimatkan makan di rumah dari membeli di luarkan!

Selamat mencuba!!

1 ulasan:


  1. Salam. Saya Amir dari iluminasi.com. Mohon izin berkongsi sebahagian info dari blog puan dalam post ni ya. Kredit dan link kepada blog puan akan diberikan. Maklumbalas dari pihak puan adalah amat dihargai :)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...