Iklan

Ahad, 24 November 2013

Pengalaman Menunggang Kuda di DARC

Alhamdulillah pada cuti sekolah kali ini, anak-anak berpeluang menunggang kuda sepertimana yang disarankan oleh Rasulullah saw. Saya teringat bahawa kami pernah menjadi ahli kepada Denai Alam Recreational and Riding Club pada Februari yang lepas tetapi tak pernah berkesempatan untuk pergi berekreasi di sana. Kami menjadi ahli secara kebetulan kerana saya dan suami menjamu steamboat di situ dan kebetulan pekerjanya menawarkan peluang menyertai keahlian DARC. Kami lihat lokasinya memang dekat dengan kediaman kami dan di Shah Alam tiada tempat menunggang kuda untuk anak-anak dan keluarga. Harga yurannya berpatutan iaitu RM180 setahun untuk sekeluarga, iaitu dalam RM15 sebulan. Kamilah rugi sebab dah hampir sepuluh bulan barulah memanfaatkan keahlian tersebut. 
Baru-baru ini saya telah berkesempatan membawa anak-anak ke DARC untuk melihat fasiliti yang ada. Musim cuti sekolah ini rupa-rupanya ramai orang berkunjung ke sini terutama anak-anak dan pelancong.
Inilah suasana dalam DARC. Ia ada menyediakan pentas untuk persembahan dan karaoke. Jangan risau jika anda menghabiskan masa seharian di sini kerana ia menyediakan tempat menjual makanan dan minuman, ada surau, kemudahan tandas awam. Pada waktu malam ada steamboat. Bagi seiapa yang ingin menginap ada disediakan chalet.
  
 
Saya dan anak-anak memilih `joyride' iaitu menunggang kuda sebanyak 2 pusingan dengan seorang pelatih yang menemani. Horse joyride ini percuma kepada setiap ahli. Tiap-tiap haripun boleh datang.
 
  
 
Selepas itu kami memberi makanan kepada kuda-kuda tersebut di kandang. Makanan yang diberi adalah karot. DARC menjual 3 bungkus dengan harga RM10.00. Mula-mula takut-takut juga sebab kalau salah caranya kuda akan menggigit jari kita. Setelah beberapa kali, anak-anak saya mulai mahir dan seronok bersama kuda-kuda ini.
 


 
Di DARC ada hampir 60 ekor kuda dari negara seperti Australia dan sebagainya. Bagi mereka yang ingin berlatih menunggang kuda sehingga pandai, pakej 6 kali latihan berharga RM180.00 seorang. Setiap latihan ialah setengah jam. Dah selesai bagi makan kuda, kamipun berehat sambil makan aiskrim. Di tempat ini, selain aktiviti berkuda, ada aktiviti memanah, kolam mandi untuk anak-anak dan dewasa, bilik untuk indoor games seperti dart dan karom serta sukan lasak motocross. Dengan kata lain, DARC juga sesuai untuk pelbagai aktiviti bersama keluarga.
 
Sebelum pulang ke rumah, saya sempat mendaftarkan 2 orang anak saya yang berminat untuk berlatih menunggang kuda. Nanti saya kongsikan latihan yang mereka lalui. Sampai jumpa lagi.
 
##################################
 
#Jom belajar membuat asas membuat blog dan fanpage seperti saya.
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.

#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com

#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini

#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah


atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini  

Sabtu, 23 November 2013

Steamboat di Johnny's Restaurant One Utama

 
Baru-baru ni kami sekeluarga berjalan-jalan `window shopping' di One Utama Damansara. Lama kami sekeluarga tidak berjalan-jalan di shopping mall. Biasanya berjalan-jalan berdua je, hehe... Dah cuti sekolah ni barulah banyak masa sikit. Hajat di hati hendak tengok wayang bersama-sama tetapi perut masing-masing kelaparan. Tup tup ternampak restoran Johnny's. Saya teringat pernah makan bersama rakan-rakan sepejabat suatu masa dahulu di Jusco Bukit Raja (sekarang AEON), Bandar Baru Klang. Rasa lama sungguh tak pekena steamboat. Sayapun tak pernah bawa suami makan steamboat Johnny's ni. Anak-anak lagilah hanya kenal yong tau foo saja. Jadi kali ini saya nak perkenalkan dan belanja semua orang akan kesedapan rasa steamboat di sini. Tapi macam biasa suami tercintalah yang membayarnya.
 
Ini buku menunya. Maaflah ambil gambar terbalik pulak, tak sempat nak betulkannya. Menunya cukup banyak tapi pengkhususannya ialah steamboat. Selain set steamboat A dan B, ada juga steamboat ala carte, boleh pilih nak makan apa-apapun. Kadang-kadang ada yang tak nak sayur sebab yang set tu kita terima sahaja apa yang dah disediakan. Ada juga berbagai jenis mee dan nasi. Kami sekeluarga memilih Thai Steamboat Set B dengan kuah tomyam dan tambahan 2 nasi goreng serta 2 pencuci mulut (lupa nama sebenarnya tapi best ala-ala waterchestnut gitu). Kuah asal steamboat ialah sup dan jika kita memilih tomyam, ada sedikit bayaran tambahan. Tapi tomyamnya memang power, semua anak-anak dan bapanyapun suka. `Best'lahkan kalau tempat yang kita bawa tu semua orang suka.
Ini suasana di restoran. Amat luas dan lapang. Berbeza betul jika dibandingkan dengan restoran yang sama di Bukit Raja, kecil tempatnya dan terhad keluasannya.
 
Lamanya nak tunggu masak
 

Macam-macam ada dalam periuk tu, seafood, ayam, fishball dan sayur-sayuran. Di bawah ini pula pencicahnya. Sedap rasanya tetapi disebabkan tomyam ni dah cukup pedas, kuah cili ni dimakan dengan nasi goreng je.

Rasa puas hati makan di sini dan seronok sebab semua ahli keluarga suka. Anak-anak dah besar ni seronok dibawa berjalan dan makan-makan sebab merekapun akan teruja sama dengan kita. Kalau semasa mereka kecil dulu susah juga sebab masing-masing ada ragamnya dan kadang-kadang terbantut selera dibuatnya. Alhamdulillah licin periuk, pinggan dan mangkuk masing-masing. Boleh dibawa ke program jalan-jalan cari makan kalau begini.
Kalau sesiapa yang ingin makan steamboat dengan harga yang amat berpatutan, bolehlah berkunjung ke Johnny's Restaurant. Makanannya dah tentu sedap dan tempatnya juga selesa. Ada banyak cawangan restoran ini di seluruh Semenanjung. Boleh lihat di sini
 
Selepas itu akibat kekenyangan, kami hanya singgah bergambar di luar pawagam, kalau masuk nanti bukannya kami tengok movie, tapi movie yang tengok kami. Lagipun ceritapun kurang menarik terutama buat anak-anak kecil. Belumpun sampai ke rumah, masing-masing dah terlelap dah. Syukur Alhamdulillah, perjalanan indah buat kami sekeluarga malam ini. 
 
 
 
 Cerita ni sesuai tetapi tayangannya tahun 2014
 
 
 ##################################
 
#Jom belajar membuat asas membuat blog dan fanpage seperti saya.
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.

#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com

#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini

#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah
atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini
 

Isnin, 18 November 2013

Resipi Mudah Sambal Bilis Kicap

Assalamualaikum semua! Lama rasanya tidak berkongsi resepi dengan para suri. Yalah kadangkala memasak lupa atau tak sempat mengambil gambar-gambar masakan. Kalau tak ada gambar tak ummpphkan! Saya sendiri suka melihat resepi bergambar. Mudah rasanya nak sediakan dan boleh bayangkan hasil resepi tersebut.
 
Sinonim keluarga kamikan dengan sambal, macam biasa saya tunjukkan cara membuat satu lagi jenis sambal. Sambal kali ini bukan sambal merah tapi sambal berwarna hitam. Dah tentu saya letakkan sedikit kicap.
 
Bahan-bahannya
 
Bawang merah kecil (seulas-tak perlu pun tak apa)
Bawang putih (4 ulas)
Ikan bilis
Cili padi (6-bergantung kepada kehendak kepedasan)
Gula (satu sudu kecil)
Sedikit kicap (2/3 sudu besar)
Minyak untuk menumis
 
Cara Memasak
 
Ikan bilis dibasuh, ditoskan dan digoreng garing. Ikan bilis saya jenis yang kecil-kecil, biasanya saya tak buang kepalanya. Tapi kalau ikan bilis yang besar saya akan buangkan kepalanya atau beli yang dah siap-siap dibersihkan. Sesudah digoreng, diketepikan.
Dalam masa yang sama bahan-bahan seperti bawang dan cili padi ditumbuk halus. Ooppss ada satu cili merah tersesat dalam batu giling tu. Resepi sebenarnya tiada cili merah tapi saya nak habiskan cili yang satu tu dan dimasukkan sekali. Hati-hati sambil menumbuk, tengok-tengoklah ikan bilis yang digoreng di sebelah, jangan hangus pula. Kalau tidak yakin, masaklah satu-persatu.
Dah selesai menumbuk? Bolehlah mula menumis. Biasanya selesai menggoreng ikan bilis, dengan baki minyak yang ada saya sambung menumis. Jika minyak terlalu banyak, asingkan sebahagian. Masukkan semua bahan-bahan yang ditumbuk ke dalam kuali.
Apabila dah nampak garing, masukkan kicap dalam 2 atau 3 sudu besar. Jangan terlalu banyak nanti terlalu berair dan menjadikan ikan bilis tidak rangup dan tidak sesuai untuk masakan sambal ini. Biasanya sambal boleh tahan 2 atau 3 hari tetapi jika berair tidak boleh dan tak menjadi resepi ini.
Selepas itu para suri boleh masukkan gula ikut sesedap rasa. Saya suka manis sikit iaitu lebih dari rasa manis buah. Biasanya kalau buat air, saya suka buat manis-manis buah tetapi untuk sambal ini saya nak ia rasa manisnya sebab ia akan berlawanan dengan rasa pedas. Namun saya akan pastikan ia tidak terlampau manis sebab kita akan rasa cepat `jemu' atau `muak' kecualilah mereka yang dah terbiasa dengan gula. Dengan bahasa yang mudah terpulanglah kepada para suri menentukannya.
Lupa nak saya sebutkan,selepas dah masukkan kicap, kecilkan apinya kerana khuatir terhangus. Apabila gula sudah hancur dan kuah sudah hampir pekat, para suri boleh lihat minyaknya mula keluar. Macam dalam gambar yang ditunjukkan ni.
Sesuailah pada masa ini, dimasukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi ke dalam kuali. Kacau rata-rata agar semua ikan bilis tersebut sebati dengan sambal. 
Inilah rupanya sambal bilis kicap. Memang sedap dimakan panas-panas dengan nasi putih dan telur dadar. Kalau mereka yang dalam pantang tetapi tak boleh makan pedas cili boleh digantikan cili dengan lada hitam. Mesti makan bertambah-tambah. Resepi ini sesuai juga dibuat sahur, taklah asyik tiada selera. Bagi mereka yang tak tahan pedas, bolehlah kurangkan bilangan cili padi tersebut.
 
Jangan lupa mencuba resepi ini pula. Resepi yang mudah, dimasak secara santai dan menjadikan tugas para suri cepat dan tangkas. Sampai jumpa lagi untuk resepi-resepi lain pula.
 
****************************************************
#Jom belajar membuat asas membuat blog dan fanpage seperti saya.
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.
#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com
#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini
#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah
atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini
 

Sabtu, 16 November 2013

Selamat Datang Cuti Sekolah

 
 
Tersenyum lebar anak-anakku, gembira dan rasa bebas setelah 11 bulan bersekolah (tidak ditolak dengan cuti penggal). Sebagai anak mestilah nak berehat, nak tidur, nak makan, nak main game, nak pergi berjalan-jalan, nak perkara-perkara yang menyeronokkan sahaja. Sebagai ibu dan bapa mestilah tidak mahu anak-anak membazir masa terlalu lama. Oleh itu anak-anak dihantar ke mana-mana program supaya masa anak-anak dipenuhkan dengan kursus hafalan, kursus motivasi, kursus bahasa, kursus kepimpinan, kursus muzik dan sebagainya.

Apapun yang dipilih dan diputuskan, berbincanglah secara baik dengan anak-anak agar mereka tidak terlalu tertekan. Mungkin ibu bapa merasakan kita yang patut membuat keputusan tanpa melibatkan perasaan anak-anak. Namun walaupun keputusan di tangan ibu bapa, biarlah keputusan itu dalam keadaan win-win situation di mana anak-anak tidak merasa dipaksarela. Terangkan kepada mereka kebaikan dan kepentingan penglibatan kursus tersebut yang hanya melibatkan masa yang pendek tetapi manfaat yang tinggi kepada mereka berbanding dengan cuti sekolah yang panjang.

Ketika anak-anak sedang bercuti di rumah, luangkan masa untuk solat berjemaah sekurang-kurangnya satu atau dua waktu. Buatkan jadual di rumah agar sepeninggalan kita bekerja anak-anak tidaklah hanya bermain semata-mata. Latih abang dan kakak membersihkan rumah, memandikan adik-adik, menyediakan makan dan minum yang mudah untuk adik-adik. Selain itu, wajar anak-anak digalakkan untuk turut sama dalam aktiviti komuniti, aktiviti di surau atau masjid, aktiviti di rumah seperti membasuh kereta, membasuh pinggan, menyidai, melipat dan menggosok baju, memasak bersama-sama, mengemas rumah, membasuh bilik air dan balik kampung membantu Tuk Wan di kebun. Anak-anak yang hanya menumpukan perhatian kepada satu aktiviti sahaja seperti membaca atau bermain tidak mendapat keseimbangan sosial dalam diri mereka. Oleh itu ibu bapa berperanan memastikan anak-anak mereka aktif dalam semua aspek. Tambahan pula penilaian di sekolah sekarang turut menekankan penilaian berasaskan sekolah (PBS). Penilaian kepada pelajar bukan semata-mata kepada penilaian akademik sahaja.
 
Walaupun nampak tiada keperluan penting memikirkan rutin persekolahan yang akan datang kerana cuti sekolah yang panjang baru bermula namun masih ada banyak keperluan lain yang perlu ibu bapa siap dan sediakan. Jangka masa satu bulan setengah bukannya lama. Oleh itu pembahagian masa dan perancangan semasa cuti perlu dibuat seperti pembelian pakaian, kasut, buku, alatulis sekolah dan meluangkan masa untuk percutian keluarga sebagai penghargaan kepada anak-anak dan kita yang penat bekerja. Apabila saya senaraikan semuanya masa satu bulan setengah amat padat dengan pelbagai aturcara persediaan ke sekolah, program anak-anak dan percutian keluarga.
 
 Ibu bapa perlu menyemak jadual persekolahan baru dan luangkan masa sekurang-kurangnya seminggu sebelum sekolah dibuka untuk memberi motivasi dan semangat untuk anak-anak kembali bersekolah. Baca buku-buku teks yang telah diterima lebih awal, balut dan kemaskan tempat belajar di rumah. Bina suasana (mood) belajar dengan membawa ke kedai buku dan membeli buku-buku latihan baru sesuai dengan darjah baru. Anak-anak yang akan mengambil peperiksaan pada tahun hadapan pula, pertimbangkan keperluan untuk tuisyen tambahan. Berbincang jadual belajar di rumah dengan ibu bapa. Dengan demikian anak-anak akan merasa seronok dan tidak mengeluh untuk ke sekolah.
 
 Selamat bercuti dan merancang hidup keluarga anda untuk tahun 2014!
 
 ****************************************************
#Jom belajar membuat asas membuat blog dan fanpage seperti saya.
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.
#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com
#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini
#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah
atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini
 

Rabu, 13 November 2013

Berdoalah Wahai Para Suri

Bunyi guruh berdentam-dentum. Hatiku bergejolak, mudah-mudahan Ya Allah kau selamatkan anak-anakku di rumah dan di sekolah, kau selamatkan juga aku dan suamiku yang masih berada di pejabat. Sekarang memang musim hujan. Tanpa mengira waktu sama ada dinihari, waktu subuh, waktu siang, waktu petang atau malam, bila Allah swt kehendaki maka hujan sebagai hamba Allah yang patuh pasti taat dan akur dan turun dengan mencurah-curah. Cuba renungkan sejenak, kitapun hamba Allah yang patuh, insyaallah. Jangan lupa melaksanakan ketaatan kepada Allah dan hindarkan dari terjebak dengan kemungkaran. Jangan kita bertindak melampaui fitrah diri. Sedarlah manusia, hidup di dunia hanya sementara bahkan dunia ini bukan milikmu, jangan mengagung-agungkan kenikmatan sementara. Dalam sibuk mengejari dunia demi tuntutan anak-anak dan keluarga, jangan lupa tanggungjawab kita kepada agama. Semoga kita semua sentiasa ingat dan sedar dan jika terlupa atau terlalai ada yang selalu mengingatkan kita. Marilah kita selalu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kebaikan. Dengan memberi bantuan dan kebaikan kepada orang lain akan mendatangkan kebahagiaan kepada kita.
 
Cepat-cepatlah wahai para suri, marilah kita berdoa ketika hujan kerana waktu itu doa mustajab. `Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan'. Doa para ibu dan para suri juga akan diperkenankan oleh Maha Pencipta. Jangan putus berdoa, hanya kepada Allah tempat kita munajatkan permintaan kita, rayulah kepadaNya insyaallah Allah sentiasa mendengar permintaan hamba-hambaNya. Doalah untuk kejayaan anak-anak kita, kebahagiaan keluarga kita dan kemenangan bagi umat Islam seluruhnya.
Doa Ketika Hujan
`Allahumma sayyiban nafi'a'
Maksudnya : Ya Allah! Jadikanlah ia hujan yang bermanfaat (Hadis Riwayat Bukhari)

Terdapat beberapa waktu berdasarkan beberapa riwayat di mana doa kita jarang ditolak oleh Allah. Antaranya  ialah:
Doa Ketika Hujan Lebat
Rasulullah bersabda : "Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan" (Hadis Riwayat Hakim, disahihkan oleh Adz Dzhahabi). Hujan membawa rahmat kepada manusia dan kehidupan lain. Manusia perlukan air untuk diminum dan tumbuhan perlukannya untuk tumbesaran. Imam Nawawi memberitahu doa pada waktu ini jarang ditolak kerana turunnya rahmat terutama curahan hujan pertama di awal musim.
Doa Ketika Mendirikan Solat Fardu
Sabda Rasulullah ini menggambarkan afdalnya berdoa saat ini : "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun." (Riwayat Abu Daud)
 
Doa Apabila Bilal Selesai Azan
Kita sepatutnya melazimi diri berdoa pada waktu ini sementara menunggu iqamat yang akan diucapkan oleh bilal. Dengan demikian, doa kita tidak akan ditolak oleh Allah berdasarkan apa yang disebut oleh Rasulullah. Baginda bersabda : "Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamat." (Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Ramai yang berdoa tetapi adakah kita pasti doa kita diterima oleh Allah? Sama seperti solat hajat, kita hanya buat solat hajat hanya apabila memerlukan sesuatu. Tidak semua, mungkin hanya sesetengah daripada kita sahaja. Contoh yang paling mudah jika kita mengisi borang untuk mendapatkan sesuatu, permohonan tersebut tidak semestinya terus diterima. Ia perlu melalui proses tertentu. Sama juga seperti doa. Kita selalu mengeluh kerana doa kita tidak diterima oleh Allah. Tetapi pernahkah kita terfikir berkenaan dengan adab berdoa? Para pembaca boleh membaca dengan lebih lanjut tentang adab berdoa di website Pusat Pemantapan Aqidah JAKIM.

****************************************************

#Jom belajar membuat asas membuat blog dan fanpage seperti saya.
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.
#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com
#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini
#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah
atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...