Assalamualaikum para pembaca sekalian.
Alhamdulillah kita ditemukan lagi untuk terus menyambung kehidupan di muka bumi ini untuk menyambut Tahun Baru Hijrah 1435. Walaupun cuti, kehidupan suri penuh warna dengan kerja rumahtangga, pengurusan keluarga dan meniti tangga usahawanita berjaya. Syukur sekali lagi kerana saya dapat menghadirkan diri ke Seminar Mini Magnet Kekayaan dan Kejayaan di SACC, Shah Alam pada 5 November 2013. Kali ini lebih manis kerana bertandang ke seminar bersama suami tercinta mendengar kisah tarikan magnet kekayaan dan kejayaan diri oleh Dr Azizan Osman. Usai seminar bergegas ke rumah dengan bekalan makanan buat anak-anak yang menanti dengan setia sementara mama dan abahnya menimba ilmu. Selesai urusan rumah dan keperluan anak-anak, suri menyambung rutin menghantar anak bujang balik ke asrama di Kuala Selangor.
Malam menjelma dengan dingin kehujanan yang masih belum berhenti menitis menyemarakkan semangat saya untuk membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki yang dibeli dengan Pn Nur Hidayah, Pengasas Miracle Refreshing. Buku yang dibeli beberapa hari sebelum Maalhijrah baru dapat diselak malam ini. Kubelek-belek isi kandungannya dan buku yang kulitnya putih bersih dan menarik, dan di dalam kulit bukunya tertulis cetakan terkini ialah kesebelas. Buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun 2012 dan diulang cetak sebanyak 4 kali pada tahun yang sama dan 7 kali pada tahun 2013. Wah! Saya merupakan orang ke berapa puluh atau ratus ribu yang membaca buku ini. Terdetik di hati saya, lambatnya saya menjemput rezeki. Tetapi syukurlah akhirnya saya dapat membaca buku yang telah menginspirasikan dan membetulkan kefahaman ramai orang tentang rezeki.
Buku setebal 184 muka surat itu sebenarnya tidaklah sukar dihabiskan pembacaannya namun dalam setiap bahagian tersebut mengandungi pengkhususannya sendiri yang boleh kita kaitkan dengan diri kita atau persekitaran kita. Buku ini mempunyai 4 bahagian dan dalam setiap bahagian ada beberapa bab, jumlah kesemuanya 4 bahagian dengan 40 bab. Saya memulakan pembacaan dengan bahagian pertama yang bertajuk Apa Itu Rezeki? Bab 1 menjelaskan rezeki bukan sekadar yang nampak di mata. Yalah rezeki yang Allah swt berikan dalam berbagai-bagai bentuk, dalam bentuk matawang, kebahagiaan rumahtangga, cahayamata, keupayaan bekerja, kesihatan yang baik, rakan dan jiran yang baik dan berbagai-bagai lagi bentuk rezeki. Pendek kata perkara kebaikan yang memberi manfaat. Yang menariknya di sini pengarang Tafsir al-Quran asy-Sya'rawy menulis, "Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya, sama ada halal ataupun haram, sama ada baik ataupun buruk."
Tersentak saya sejenak kerana sebelum ini tidak terfikir saya bahawa rezeki itu ada juga yang haram dan ada yang buruk. Sepertimana pengarang buku ini (Fathuri Salehuddin), tafsiran dari asy-Sya'rawy juga telah mengubah persepsi saya bahawa rezeki itu hanya yang baik-baik sahaja. Tambah asy-Sya'rawy dalam penulisannya, "Bererti apa sahaja yang kita rasakan manfaatnya bermakna ia adalah rezeki kita, dan segala sesuatu yang tidak dapat kita mengambil manfaat daripadanya, (walaupun milik kita) bukanlah rezeki kita, tetapi rezeki orang lain."
Fathuri Salehuddin telah menunjukkan dengan contoh-contoh yang sangat jelas berhubung persoalan-persoalan yang timbul di fikiran apatah lagi bila as-Sya'rawy mengatakan `milik kita belum tentu rezeki kita', rezeki itu juga tidak pernah terlewat atau terlambat menemui tuannya kerana rezeki lebih tahu `alamat' tuannya. Jangan lupa syaitan mahu kita sentiasa mengambil rezeki yang haram. Kita hendaklah berhati-hati dalam soal ini kerana kadangkala kita lupa mengaitkan pekerjaan seharian kita dengan unsur culas dalam bekerja dan rezeki yang diperolehi dari pekerjaan tersebut.
Selain itu, ilmu itu sendiri adalah rezeki kerana dengan ilmu dapat menambahkan rezeki, kaitan antara usaha dan rezeki di mana usaha yang paling berkesan dalam menjemput rezeki ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Berusahalah sehingga Allah kasih dan redha kepada kita. Dalam konteks perkaitan harta dan rezeki, sekiranya harta yang kita miliki tetapi kita tidak dapat mengambil manfaatnya maka ia bukanlah rezeki kita. Allah swt yang mengatur rezeki tersebut. Setiap daripada kita mempunyai peranan menyimpan dan menyampaikan rezeki orang lain. Begitu juga dengan soal keimanan amat berkait rapat dengan rezeki. Apabila kita yakin dan percaya hanya Allah yang boleh mendatangkan rezeki, insyaallah kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang haram untuk mendapatkan rezeki. Dengan kata lain dengan rezeki yang halal, iman kita akan terjaga. Banyak contoh dari ayat-ayat Al-Quran sendiri tentang soal rezeki ini. Akhirnya penutup dalam bahagian 1 membicarakan tentang kunci rezeki iaitu bersungguh-sungguh dalam apa jua kerja dan bersyukur.
Semua 10 bab dalam bahagian 1 ini cukup menjelaskan kepada saya tentang apakah itu rezeki sebelum saya menyambung pembacaan ke bahagian ke 2 tentang cara-cara untuk menjemput rezeki. Sambil mengaitkan contoh-contoh yang diberikan dengan pengalaman-pengalaman yang saya hadapi, matapun mulai kuyu dan anak-anakpun dah bermimpi hingga ke bulan. Hambatan kerja suri hari ini cukup meletihkan minda dan anggota fizikal saya. Mungkin ulasan buku Mudahnya Menjemput Rezeki akan disambung pada hari yang lain pula, insyaallah.
++++++++++++++++++++++++++++
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.
#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com
#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini
#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan