Iklan

Isnin, 18 November 2013

Resipi Mudah Sambal Bilis Kicap

Assalamualaikum semua! Lama rasanya tidak berkongsi resepi dengan para suri. Yalah kadangkala memasak lupa atau tak sempat mengambil gambar-gambar masakan. Kalau tak ada gambar tak ummpphkan! Saya sendiri suka melihat resepi bergambar. Mudah rasanya nak sediakan dan boleh bayangkan hasil resepi tersebut.
 
Sinonim keluarga kamikan dengan sambal, macam biasa saya tunjukkan cara membuat satu lagi jenis sambal. Sambal kali ini bukan sambal merah tapi sambal berwarna hitam. Dah tentu saya letakkan sedikit kicap.
 
Bahan-bahannya
 
Bawang merah kecil (seulas-tak perlu pun tak apa)
Bawang putih (4 ulas)
Ikan bilis
Cili padi (6-bergantung kepada kehendak kepedasan)
Gula (satu sudu kecil)
Sedikit kicap (2/3 sudu besar)
Minyak untuk menumis
 
Cara Memasak
 
Ikan bilis dibasuh, ditoskan dan digoreng garing. Ikan bilis saya jenis yang kecil-kecil, biasanya saya tak buang kepalanya. Tapi kalau ikan bilis yang besar saya akan buangkan kepalanya atau beli yang dah siap-siap dibersihkan. Sesudah digoreng, diketepikan.
Dalam masa yang sama bahan-bahan seperti bawang dan cili padi ditumbuk halus. Ooppss ada satu cili merah tersesat dalam batu giling tu. Resepi sebenarnya tiada cili merah tapi saya nak habiskan cili yang satu tu dan dimasukkan sekali. Hati-hati sambil menumbuk, tengok-tengoklah ikan bilis yang digoreng di sebelah, jangan hangus pula. Kalau tidak yakin, masaklah satu-persatu.
Dah selesai menumbuk? Bolehlah mula menumis. Biasanya selesai menggoreng ikan bilis, dengan baki minyak yang ada saya sambung menumis. Jika minyak terlalu banyak, asingkan sebahagian. Masukkan semua bahan-bahan yang ditumbuk ke dalam kuali.
Apabila dah nampak garing, masukkan kicap dalam 2 atau 3 sudu besar. Jangan terlalu banyak nanti terlalu berair dan menjadikan ikan bilis tidak rangup dan tidak sesuai untuk masakan sambal ini. Biasanya sambal boleh tahan 2 atau 3 hari tetapi jika berair tidak boleh dan tak menjadi resepi ini.
Selepas itu para suri boleh masukkan gula ikut sesedap rasa. Saya suka manis sikit iaitu lebih dari rasa manis buah. Biasanya kalau buat air, saya suka buat manis-manis buah tetapi untuk sambal ini saya nak ia rasa manisnya sebab ia akan berlawanan dengan rasa pedas. Namun saya akan pastikan ia tidak terlampau manis sebab kita akan rasa cepat `jemu' atau `muak' kecualilah mereka yang dah terbiasa dengan gula. Dengan bahasa yang mudah terpulanglah kepada para suri menentukannya.
Lupa nak saya sebutkan,selepas dah masukkan kicap, kecilkan apinya kerana khuatir terhangus. Apabila gula sudah hancur dan kuah sudah hampir pekat, para suri boleh lihat minyaknya mula keluar. Macam dalam gambar yang ditunjukkan ni.
Sesuailah pada masa ini, dimasukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi ke dalam kuali. Kacau rata-rata agar semua ikan bilis tersebut sebati dengan sambal. 
Inilah rupanya sambal bilis kicap. Memang sedap dimakan panas-panas dengan nasi putih dan telur dadar. Kalau mereka yang dalam pantang tetapi tak boleh makan pedas cili boleh digantikan cili dengan lada hitam. Mesti makan bertambah-tambah. Resepi ini sesuai juga dibuat sahur, taklah asyik tiada selera. Bagi mereka yang tak tahan pedas, bolehlah kurangkan bilangan cili padi tersebut.
 
Jangan lupa mencuba resepi ini pula. Resepi yang mudah, dimasak secara santai dan menjadikan tugas para suri cepat dan tangkas. Sampai jumpa lagi untuk resepi-resepi lain pula.
 
****************************************************
#Jom belajar membuat asas membuat blog dan fanpage seperti saya.
Jika berminat sila email ke azhana.am@gmail.com/ whatsapp/ sms 0133510426.
#Iklankan produk atau kedai anda di www.sohodirectory.blogspot.com
#Berminat menjadi dropship Miracle Refreshing Spray atau membuat tempahan,
boleh lawat fb Miracle4U-Shah Alam dan pm di sini
#Berminat dengan produk pemakanan sunnah,
boleh lawat http://azhanaam.blogspot.com/search/label/Makanan%20Sunnah
atau di fb Sihat Dengan Makanan Sunnah dan pm di sini
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...