Iklan

Rabu, 6 Ogos 2014

Nostalgia Ramadan dan Aidilfitri 1435H

Salam Aidilfitri kepada semua pengunjung.

Masa memang pantas berlalu. Seingat saya seperti baru semalam tibanya bulan Ramadan, bergegas bangun awal untuk menyediakan hidangan bersahur dan rutin mengejut anakanda-anakanda yang lena. Sepanjang Ramadan memang padat jadualnya. Sedapat mungkin kami berbuka puasa dengan juadah yang saya sediakan. Merasa juga beli juadah di bazar Ramadan sekali dua terutama jika tak sempat sampai ke rumah apabila ada urusan. Tahun ini merupakan tahun pertama saya berpuasa dan beraya sebagai suri bekerja di rumah sepenuh masa. Masa di hujung minggu juga padat kerana anak-anak di asrama dibenarkan pulang hampir setiap minggu. Yalah merekapun suka dapat berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Persiapan pakaian anak-anak memang telah saya bereskan sebelum Ramadan kerana khuatir sayapun tak sempat kerana urusan bisnes sambilan di rumah. Alhamdulillah syukur ramai yang mendapat manfaat dari minyak serbaguna Miracle Refreshing dan serumnya yang baru dilancarkan. Ramai juga yang menempah acar dan sambal untuk meningkatkan selera ketika di bulan Ramadan dan Syawal. Moga produk-produk ini dapat menambah nilai kehidupan setiap keluarga. 

Kemeriahan sambutan ibadah di bulan Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri 1435H dikejutkan dengan insiden MH17. Allah mengajak semua hamba-hambaNya berfikir di sebalik setiap kejadian yang berlaku. Mari kita sedekahkan alfatihah kepada semua umat Islam sama ada mereka yang telah pergi disebabkan kejadian MH17, MH370 atau pergi dalam apa jua keadaan kerana panggilan Ilahi mahupun kepada yang masih hidup. Moga Allah berikan kita kekuatan, kesabaran dan kemenangan. Alfatihah...

Hari Raya pada tahun ini kami sambut dengan penuh kesederhanaan di Pendang, Kedah. Paling gembira apabila semua adik-beradik dan sanak-saudara berhimpun beramai-ramai. Anak-anak saudara yang kecil semuanya dah meninggi dan membesar malah ada yang sudah mempunyai anak. Tahun ini kami rupa-rupanya dah bergelar `Tok Cik'. Moga tingkatnya umur kami selari dengan tingkatkan amalan kepadamu, ya Allah. Sesungguhnya Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya melalui berbagai-bagai cara. Hanya terpulanglah kepada kita mengambil iktibar atas peringatannya. 

Berada di kampung terasa banyak perkara perlu diperhati dan disumbangkan. Yang tinggal hanya warga emas dengan kudrat yang terhad manakala sumber alam amatlah luas. Moga Allah kurniakan kecekalan yang tinggi, semangat yang kuat dan keimanan yang mantap kepada kami dan anak-anak umat kami ini. Janganlah kami terus alpa dan lalai. Syukur, kami masih diberi kesempatan mengecap nikmat yang Allah kurniakan. Namun jangan dilupakan kepada saudara-saudara seIslam kita yang sedang berjihad dalam peperangan di Syria, di Palestin dan sebagainya.

Masih ada kesempatan untuk tambahkan amalan, rebutlah pahala berpuasa sunat sebelum berakhirnya bulan Syawal seperti berakhirnya bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Saya doakan para pembaca sekalian dilimpahkan rahmat Allah dan diberi kekuatan untuk terus berkarya dan menyumbang kepada agama dalam ruang lingkup masing-masing.

Salam kemaafan dari saya jika ada bicara yang mengusik jiwa. Salam Aidilfitri dari saya sekeluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...