Iklan

Sabtu, 14 September 2013

Amalkan Sikap Hormati Yang Tua Sayangi Yang Muda

Mak Inang membeli kundur
Kundur dibeli bersama pisang
Jadilah anak berbudi luhur
Elok kelak disayang orang
 
Kadangkala mengucapkan adalah lebih senang dari kita mengamalkan. Kadangkala apabila berhadapan dengan orang tua yang tidak kita kenali, kita akan mudah mesra dan berlebihkurang berbanding orang tua kita sendiri. Sepatutnya semua orang tua perlu kita hormati terutama orang tua yang telah melahirkan dan membesarkan kita selama ini. Walaupun terdapat pandangan-pandangan yang tidak kita persetujui, namun terangkan secara lembut dan berhemah. Sekiranya tidak diterima, mengalahlah kepada mereka dan elakkan perdebatan agar tidak mewujudkan bibit-bibit perselisihan. Mengalah bukan bererti kita harus mengikut kehendak mereka, mungkin ada cara lain yang boleh dilakukan. Biasanya orang muda lebih suka bertindak dengan cara mereka sendiri dan agak terburu-buru. Tiada salahnya mendengar pandangan mereka yang lebih berpengalaman. Kesilapan-kesilapan seperti ini perlulah kita hindari dan ajari anak-anak sejak kecil lagi agar sentiasa menghormati orang tua.
 
Bagaimana kita nak menghargai harga diri orang tua? Paling utama ialah memberi mereka penghormatan iaitu rasa diperlukan, memberi peluang mereka memberikan pendapat dan memberi pengharapan yang positif kepada mereka. Ini kerana mereka lebih mempunyai banyak pengalaman dan kelebihan berbanding dengan orang muda. Walaupun orang-orang muda lebih berfikiran terbuka dan mendapat pendidikan lebih tinggi namun janganlah kita lupa kerana mereka lebih makan garam dan hidup lebih dulu dari kita. Ingatlah seperti firman Allah swt dalam surah Al Israa' ayat 23 yang bermaksud, "...Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan `ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."
 
Sesungguhnya cabaran menjaga dan menghormati orang-orang tua adalah berat sehingga diberi ingatan oleh Allah swt kepada kita semua. Apabila menjaga anak-anak yang nakal bolehlah kita marah atau rotan tetapi menjaga orang tua adalah lebih sukar. Kita perlu sedar bahawa satu ketika kita juga akan menjadi orang tua. Hendaklah kita sentiasa bersabar dan ikhlas dalam melayani karenah oran-orang tua. Rasulullah saw ketika ditanya tentang peranan kedua orang tua, baginda bersabda yang bermaksud, "Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu." Hadis riwayat Ibnu Majah. Gerun melihat maksud hadis Nabi saw ini. Segala amalan kebaikan apabila dihitung akhirnya yang paling penting dilihat ialah hubungan kita dengan ibu dan bapa.  
 
 
Oleh itu sedikit tips untuk para suri agar kita menjadi contoh pada anak-anak dalam menghormati kedua ibu bapa dan menyayangi mereka dengan selalu memberi tunjuk ajar yang baik. Yang tua berilah nasihat, yang muda terimalah nasihat.
 
Rusa betina berbelang di kaki
Mati terjerat di pohon jati
Orang yang muda kita sayangi
Orang yang tua kita hormati
 
 
* Artikel ini telah disesuaikan dari Majalah MIDI 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...