Iklan

Sabtu, 21 September 2013

KEMBARA DI BUMI SURYA (Bhgn 1)

Pada Disember 2007 yang lepas, suami saya terlibat dengan program pelajar Malaysia anjuran ABIM di Syria. Selain ziarah ke Madinah dan Mekah, saya tidak pernah ada peluang untuk ke negara-negara Timur Tengah yang lain. Jadi saya mengambil kesempatan kali ini untuk mengikut suami dengan ditemani anak keempat (yang bongsu ketika itu) dan mak saya. Masa tu pergipun tak ada persiapan sampaikan charger kamerapun tertinggal. Saya tidak banyak merakamkan gambar kerana pada masa itu tiada telefon secanggih sekarang dan masa pengambilan gambar terhad sebab chargerkan tak ada. Pemergian kami diuruskan oleh badan dakwah dan pelajar bukannya agen pelancongan, jadi kami tidak dapat menziarahi banyak tempat. Walau bagaimanapun apabila melihat keadaan Syria sekarang, saya rasa cukup beruntung kerana dapat melawat sebahagian bumi Anbiya ini. Saya berdoa agar maqam-maqam Nabi dan para ulama di sana terpelihara dari kerosakan peperangan.
Cerita sikit pasal Syria ni. Nama sebenarnya adalah Surya tetapi Barat menggunakan nama Syria. Di negara ini ada banyak kesan-kesan sejarah dari zaman sebelum Rasulullah saw lagi. Kami ditempatkan di hotel di kawasan ibu kota Damsyik atau nama asalnya Dimasyq. Ntahlah saya tak ingat nama hotelnya. Namun kami sempat bergambar di depan dan luar hotel tersebut. Cuacanya sejuk sangat, lihat tu 11 darjah suhunya. Waktu malam lagi sejuk mujur di bilik ada alat pemanas.

Sehabis program pelajar, dari kota Damsyik kami dibawa ke Nawa, jauhnya lebihkurang 50km. Ada insiden lucu yang tak dapat saya lupakan kerana anak saya tidak memakai pampers dan terkencing di seluarnya. Terpaksalah saya membeli seluar di pekan tersebut. Di tempat bernama Nawa ini bersemadinya maqam Imam Nawawi, seorang ulama' yang terkenal di kalangan masyarakat Islam. Nama sebenar Imam Nawawi ialah Abu Zakariya Yahya bin Syarafuddin. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Nawawi kerana beliau berasal dari tempat ini, Nawa. Bersebelahan maqam beliau ada sepohon pokok yang amat besar. Selepas itu kami bergerak ke Dar'a untuk menziarahi maqam Nabi Ayub as. Jaraknya dekat saja lebihkurang dalam 7km dari Nawa. Sayang betul tak dapat ambil gambarkan!
  
Perjalanan diteruskan ke Bosra yang merupakan kota lama Rom yang terletak di Selatan Syria yang berhampiran Jordan. Kawasannya sangat luas meliputi Gereja Paderi Buhaira Byzantine yang pernah dilawat oleh  Rasululullah saw, Masjid Al-Mabrak, Masjid Omar dan Teater Rom. Kami singgah di depan gereja di mana Rasulullah saw pernah berhenti sewaktu mengikuti rombongan perniagaan bapa saudaranya ke Syam. Kisah pertemuan Rasulullah saw dengan Buhaira adalah satu-satunya hadis yang diriwayatkan oleh ramai ulama' Sirah. Hadis ini membuktikan kepada kita bahawa ahli kitab iaitu orang Yahudi dan Nasrani sudahpun mengetahui tentang pengutusan Nabi Muhammad saw melalui Kitab Taurat dan Injil yang telah menceritakan satu-persatu tanda-tanda dan kedatangannya. Tak sangka dulu belajar sejarah Islam tentang Buhaira tapi akhirnya saya dapat melihat sendiri tinggalan sejarahnya. Kota ini sebenarnya wujud sejak 200 Masihi lagi. Mungkin ia menjadi salah satu mercu tanda kegemilangan Rom waktu itu. Tapi sayangnya tempat ini tidak dijaga dengan elok sepertimana tempat bersejarah di Malaysia. Terdapat masjid di dalam kota lama ini tetapi keadaannya amat uzur sekali. Masih kedapatan penduduk yang tinggal di sini tetapi tidak ramai mungkin ramai yang duduk dalam rumah agaknya. 

Di luar kota lama



Dalam teater Rom
Menjengah masuk teater Rom, rasa terpegun dan takjub kerana bentuk amphitheater/teater seperti dewan stadium masih jelas kelihatan walaupun telah berusia beribu tahun lamanya. Amphitheater ini dikatakan dapat menampung sehingga 15 ribu penonton. Sesungguhnya kisah-kisah dalam sejarah itu benar, marilah kita ambil  pengajaran atas kisah-kisah silam ini. Banyak yang Allah tunjukkan kepada kita tetapi kalau kita tidak mahu berfikir dan ambil peringatan maka kita akan tergolong dalam orang-orang yang rugi.
 
Pada malam harinya kami dihidangkan dengan nasi Arab beserta kambing. Itulah kali pertama saya makan nasi Arab yang begitu enak rasanya (Memang enak sampaikan malam berikutnya saya minta belikan lagi). Sudah tentu bila dah kenyang, matapun mengantuk. Oleh itu tunggu ya, nantikan kembara ke Syria dalam bahagian ke 2 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...