
Apakah yang dimaksudkan dengan suri mesti mempunyai ilmu pengetahuan? Sudah tentu saranan pergi mencari ilmu ini datangnya dari firman Allah swt dalam surah Al-`Alaq ayat 1 dan 2 dengan maksudnya, "Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan." Rasulullah saw juga menekankan peri pentingnya menuntut ilmu ini dalam hadisnya yang bermaksud, "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Muslim." Apabila seorang suri mempunyai ilmu pengetahuan maka setiap tingkah laku, pandangan dan keputusan yang dibuat tidaklah semata-mata berpandukan akal fikiran sahaja kerana kadangkala keputusan melalui akal fikiran juga sering tersalah apatah lagi jika diringi dengan emosi dan nafsu. Kerana itu penting ilmu pengetahuan bagi seorang suri agar kita dapat menjadi orang yang bijak terutama dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga atau bidang yang diceburi.
Prasyarat ini amat penting kerana sebagai seorang anak gadis mestilah dia didedahkan dengan ilmu berumahtangga oleh kedua ibu bapa tentang peranannya menjadi seorang isteri. Seorang suami juga perlu mengajari isteri dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah untuk meniti rumahtangga dengan iman dan bahagia. Seorang isteri juga hendaklah mempelajari ilmu persediaan sebagai seorang ibu dan ilmu-ilmu berkaitan peranan suri bagi membantu suami seperti ilmu masakan, ilmu pengasuhan anak-anak, ilmu memupuk kasih sayang dan mengekalkan keharmonian berumahtangga.

Sebagai contoh, suri yang bekerja di rumah mesti mempelajari ilmu pengurusan, suri yang bekerja di pejabat mesti mempunyai ilmu berkaitan tugas mereka dan suri yang membuat bisnes menerusi internet mesti mempunyai ilmu berkaitan website, blog dan facebook. Begitulah dalam konteks lain, seorang suri perlu mencari ruang dan peluang untuk mempelajari ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kemahiran diri dan menjadikan suri lebih bijaksana dalam setiap urusan seterusnya menjadi suri yang berjaya.
Jom para suri, jangan jemu menuntut ilmu hingga ke titisan akhir hidup kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan