Oooo...berjalanpun ada adab-adabnya. Lepas dah berjalan dengan beradab bagaimana kita nak mempertingkatkannya agar dapat menjadi pahala sunat. Pagi-pagi hari selepas Subuh ni minda kita cergas dan segar. Jadi akupun membelek-belek Majalah Anis keluaran September 2013 dan membaca beberapa rencana untuk membangkitkan semangat bekerja pada hari ini. Kadangkala aku tak sempat menghabiskan pembacaan walaupun dibeli beberapa bulan yang lepas. Aku amat tertarik dengan satu artikel nukilan Ustaz Abd Wahab Ali bertajuk `Upgrade Adab Berjalan'. Ya, kawan-kawan bukan sahaja iman dan amal yang perlu dipertingkatkan tapi adab berjalan juga perlu diperbaiki. Asal hukum berjalan itu sebenarnya adalah harus tetapi boleh menjadi sunat jika betul niat dan caranya. Mari kita cuba perbaiki cara berjalan kita dan amalkan selalu. Jom kita baca tips-tipsnya.
1. Berjalan dengan sederhana dan tegap
Akhlak seseorang boleh dinilai melalui cara berjalan. Jika kaki mengheret bumi, itu petanda orang yang malas. Jika berjalan dengan tergesa-gesa, itu petanda orang yang kelam kabut. Berjalanlah dengan sederhana dan dengan langkah yang tegap. Inilah yang diperintahkan Allah dalam ayat 19 surah Luqman. Dalam kitab as-Syamail al-Muhammadiah disebutkan Nabi Muhammad saw berjalan seperti orang yang menuruni tempat tinggi. Biasanya orang yang menuruni tempat tinggi akan melangkah dengan tegap dan mantap. Jika tidak pasti akan terjatuh. Orang yang menuruni bukit juga matanya sentiasa memandang ke bawah. Ini tandanya tawaduknya Rasulullah saw. Perlu diingat bahawa berjalan sederhana bukan bererti lambat atau berlengggang. Para Sahabat Rassulullah saw sering ketinggalan di belakang dan terpaksa mengejar Baginda ketika berjalan. Kata Abu Hurairah r.a, "....seolah-olah bumi bergulung untuknya. Jika pada satu masa Baginda di sini, sebentar lagi akan kelihatan Baginda di sana."
Gambar hiasan dalam carian google |
Tidak kira lelaki atau perempuan, mereka perlu menjaga pandangan ketika berjalan. Bagi lelaki, jadikan kisah Nabi Musa sebagai iktibar. Dalam Tafsir al-Qurtubi (Surah al-Qasas ayat 25) disebutkan kisah ketika Nabi Musa dibawa berjumpa dengan Nabi Syuaib a.s. Anak perempuan Nabi Syuaib berjalan di hadapan. Apabila angina bertiup sehigga menampakkan bentuk tubuhnya, Nabi Musa mengalihkan pandangan dan berkata, "Bergeraklah kamu ke belakang dan tunjukkan aku jalannya dengan suara kamu..." Bagi wanita pula, Nabi saw pernah memerintahkan Ummu Salamah dan Maimunah agar segera menutup diri dan pandangan mereka ketika didatangi Abdullah Ibnu Ummi Makhtum. Mereka mempersoalkannya kerana Ibnu Ummi Makhtum itukan seorang yang buta. Nabi saw berkata, "Adakah kamu berdua juga buta? Bukankah kamu dapat melihatnya?" (Riwayat Tirmizi)
3. Sampaikan salam
Kalau kita berkenderaan, sunat memulakan salam kepada orang yang berjalan. Jika kita berjalan pula, sunat memulakan salam kepada orang yang duduk. Begitu juga kumpulan yang kecil sunat memulakan salam kepada kumpulan yang lebih besar. Masyarakat kita selalu ambil mudah. Memberi salam hukumnya sunat dan menjawabnya adalah wajib. Walaupun memberi salam hukumnya sunat, pahalanya lebih besar dari pahala wajib menjawabnya. Nabi saw sentiasa mendahului Sahabatnya dalam memberi salam. Pernah satu ketika Saiyidina Umar bersembunyi di suatu kawasan agar dapat memberi salam terlebih dahulu kepada Nabi tetapi Baginda tetap mendahuluinya.
4. Tidak terburu-buru berjalan untuk solat
Dalam hadis disebut, "Jika diiqamatkan solat, maka kamu jangan kamu dating dengan tergesa-gesa. Berjalanlah dengan tenang. Apa yang sempat, maka kamu tunaikan. Apa yang tertinggal maka kamu sempurnakan (sesudah itu)." (Riwayat Bukhari)
5. Tidak berjalan dengan sebelah selipar
Berjalan dengan sebelah selipar bererti kita tidak berlaku adil kepada kaki kita. Sabda Nabi saw, "Jangan salah seorang daripada kamu berjalan dengan sebelah selipar. Sama ada dia menanggalkan kedua-duanya atau memakai kedua-duanya." (Riwayat Bukhari)
6. Berjalan tanpa sepatu (kasut) sekali sekala
Mungkin ramai yang tidak tahu, berjalan tanpa sepatu patut dilakukan sekali sekala. Pakar biologi mengatakan bahawa berjalan berkaki ayam di atas pasir selama 15 minit sehari boleh mengaktifkan keupayaan semulajadi badan. Ia memberi kesan yang lebih baik jika pasir itu basah terkena air hujan. Air hujan dan pasir membantu menghilangkan ion negatif di dalam badan. Seorang sahabat Nabi saw mengembara menemui Fudhalah bin Ubaid Mesir. Dia ingin bertanya tentang hadis yang mereka sama-sama dengan daripada Nabi saw dahulu. Selesai berbincang Fudhalah bertanya, "Aku lihat pakaian kamu ini agak lusuh sedangkan kamu seorang pemimpin." Kata Sahabat tadi, "Sesungguhnya Rasulullah saw melarang kita terlalu bermewah." Fudhalah bertanya lagi, "Mengapakah pula kamu tidak berkasut?" Jawabnya, "Sesungguhnya Rasulullah saw menyuruh kita agar berkaki ayam sekali sekala." (Riwayat Abu Dawud)
Wah! Begitu mendalam maksudnya. Alhamdulillah beruntung kita mengetahui adab dan sunnah Rasulullah saw walaupun dalam bab cara berjalan sahaja. Imam Abdullah al-Haddad menyebut, "Boleh jadi satu amalan itu kecil tetapi ia menjadi besar dengan sebab niat. Boleh jadi suatu amalan itu besar tetapi ia menjadi kecil dengan sebab niat." Oleh itu para pembaca dan terutamanya para suri yang disayangi, marilah kita amalkan perkara yang nampak mudah kerana fadhilat dan pahalanya ini. Moga-moga kita juga disayangi Allah dan RasulNya kerana berusaha mempertingkatkan adab berjalan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan