Iklan

Jumaat, 31 Januari 2014

Perjalanan ke Timur Tengah 2013 : Madinah, Mekah dan Jeddah (Siri 3)

Catatan Penghargaan :

Siri 3 perjalanan ke Timur Tengah ini merupakan siri terakhir dalam siri coretan saya sepanjang mengikuti lawatan kerja suami pada Disember 2013 yang lepas. Syukur saya ke hadrat Allah swt kerana berpeluang menjejakkan kaki ke sebahagian lagi Tanah Arab dan lebih-lebih syukur juga kerana dapat menunaikan ibadah umrah walaupun dalam tempoh yang amat singkat. Terima kasih kepada ahli-ahli rombongan atas ukhuwwah yang terjalin sepanjang kembara kita bersama dan terima kasih kepada pegawai dan para isteri kedutaan dan rakyat Malaysia yang telah melayan kami dengan begitu `awesome' sekali. Moga tali silaturrahim terus berkekalan dan moga Allah mengurniakan ganjaran kepada kamu semua. Terakhirnya, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada suami tercinta kerana sudi menanggung kos perjalananku, suri yang baru nak bekerja di rumah ini. 


***************************
Selesai sesi lawatan di Kuwait, kami perlu bergegas ke lapangan terbang Kuwait untuk penerbangan terus ke MadinatulMunawwarah. Alhamdulillah urusan imigresen dipermudahkan dengan bantuan daripada pegawai-pegawai di kedutaan Malaysia. Insyaallah jika ada ruang dan kelapangan masa, kami akan melawati bumi Kuwait lagi. Syukran wa ma'assalamah.

Menaiki Kuwait Airways tidaklah rasa terlalu teruja seperti menaiki Qatar Airways. Namun sifat kenderaan adalah sebagai kemudahan untuk bergerak ke satu tempat ke satu tempat yang lain. Syukurlah bila masih berkemampuan dan masih mempunyai kesihatan yang baik. Nasihat kepada diriku, usahlah membanding-bandingkan perkara keduniaan secara keterlaluan. Ya Allah! Ampunkan aku jika aku terlalu bersifat kebendaan dan keduniaan. Sentapkanlah hatiku dari terus berada dalam kelalaian. Sedang muhasabah diri, tiba-tiba muncul seorang penumpang wanita Arab tersenyum lalu duduk di sebelahku. Biasanya aku dan suami duduk sekali tetapi dalam Kuwait Airways tidak. Syukurlah apabila Allah berhajat mempertemukan aku dengan saudara seIslam yang lain.

Kenalan baruku bernama Hana. Lalu aku memberitahunya nama kita berdua hampir serupa. Seronok Hana mendengarnya dan beliau juga hendak ke Madinah dan seterusnya menunaikan ibadah umrah. Kenalan Kuwait ini rupa-rupanya berusia 45 tahun dan lancar berbahasa Inggeris dengan lenggok Arab. Patutlah boleh berbahasa Inggeris sebab dia bekerja sebagai juruanalisa sistem di Kuwait. Dok bersembang-sembang, sambil tu Hana memberitahu aku tentang kebaikan zikir-zikir dan amalan bacaan Al-Quran setiap hari. Mujurlah aku faham Bahasa Arab sikit-sikit. Rasa kerdil dan insaf sebab masa sekolah tak menguasai bahasa Arab sepenuhnya. Semuanya ketika di sekolah adalah menghafal, menghafal untuk peperiksaan. Akhirnya daku tak sempatpun nak terlena. Huhuhu...
 Ya Hanana! Aik nape dah tembam lak!

Rupa-rupanya sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan ibadah Haji, penduduk-penduduk di sekitar Tanah Arab akan berkunjung ke Baitullah dan Maqam Rasulullah saw. Patutlah mereka pelik dan bertanya bagaimana kami mendapat visa umrah. Terpaksalah aku terangkan bahawa kami dalam sesi lawatan ke beberapa buah negara Arab yang lain dan telah diberikan pengecualian untuk visa umrah. Oleh sebab itu di Malaysia dan di negara-negara lain, visa umrah sebenarnya akan dikeluarkan lewat sedikit kerana memberi peluang kepada penduduk-penduduk di sekitar Tanah Arab menunaikan ibadah umrah. Sampai di bumi Madinah, sempat saya dan Hana bertukar-tukar alamat email dan telefon bagi menyambung silaturrahim pada masa akan datang (tapi serius suri sibuk dan masih tak sempat menghubungi beliau).

Alhamdulillah bumi Madinah sedikit sejuk dan berangin. Di sekitar masjid nampaknya keadaan masih lengang dan memang ramai jamaah Arab. Rakyat Malaysia yang saya temuipun kebanyakannya yang bekerja di sekitar Jeddah, Madinah, Jubail dan tanah Arab lain. Kaum wanita tidak dapat menyertai program di Madinah, mungkin ia sedikit 'strict' jika dibandingkan dengan negara-negara Arab lain sebelum ini. Sayapun mengambil kesempatan berulang ke Masjid Nabawi sekerap mungkin dan syukur dapat beberapa kali ke Raudhah. Memikirkan masa yang suntuk dan perasaan khuatir telefon berkamera akan dirampas menyebabkan saya sering meninggalkan telefon di hotel. Oleh itu hanya beberapa keping gambar sahaja yang sempat dirakam. 


Di bawah kubah hijau terletak Maqam Rasulullah saw
Perkuburan Baqi'

Kami di Madinah tidak lama, hanya 2 hari 1 malam sahaja. Kemudian kami bersiap-siap untuk ke Mekah pula. Singgah di Bir Ali untuk solat sunat ihram dan berniat di miqat.
 Masjid Bir Ali tempat untuk bermiqat 
Kedai-kedai di sekitarnya
 Buah-buah yang segar dan tamar

Tidur yang kurang cukup, keletihan dan aktiviti yang cukup padat menyebabkan kami tertidur selepas selesai bertalbiah di dalam kereta. Kami sampai ke Mekah selepas waktu Asar. Selepas solat Maghrib dan Isya', kami makan malam dan berehat terlebih dahulu bagi memulihkan sedikit tenaga. Tengah malam barulah kami menyelesaikan umrah kami bermula dengan tawaf, kemudian saei terus bertahallul.

 
 Tawaf 7 kali mengelilingi Kaabah
Bekas tapak kaki Nabi Ibrahim as
 Pancuran emas, di bawahnya tempat solat Hijir Ismail
Alhamdulillah selesai solat sunat selepas tawaf. Kami hendak menunaikan saei pula di Safa dan Marwa. Gambar di bawah ini dahulunya tempat solat sepanjang jalan ke Safa dan Marwa, tetapi kini sedang dalam proses `renovation'. Tempat ini strategik untuk solat berjamaah selepas selesai menunaikan saei kerana dari tempat solat akan nampak Kaabah sepanjang masa.

Disunatkan bagi lelaki berlari2 anak sepanjang tempat ditandakan lampu hijau

Kenalan baru semasa umrah iaitu sebuah keluarga Syria yang menetap di Madinah. Suaminya bekerja di kilang coklat. Beliau beria-ria ingin berkenalan dan bertukar-tukar alamat email dan meminta kami datang ke rumah mereka di Madinah.
Suami terjumpa sahabat lama semasa di sekolah menengah. Lebih 20 tahun mereka tidak berjumpa. Sahabatnya membawa anak-anak dan isteri bersama menunaikan umrah. Saya juga memasang impian untuk membawa semua anak-anak bersama pada akhir tahun depan jika diizinkan Allah. Pada waktu selepas haji masyallah amat selesa menunaikan umrah lebih-lebih lagi jika membawa keluarga. Suhu kami di Mekah semasa ini ialah 20 C, berangin dan amat sejuk. Saya pernah beberapa kali menunaikan umrah di bulan Ramadhan. Masyaallah pesta ibadah di sini amat dirasai. Malam ibarat siang. Tetapi cuaca pada waktu siang amat panas dan kami jarang bertawaf pada waktu tengahari kecuali sewaktu tawaf widak. Namun pada waktu tersebutlah kurang orang yang bertawaf melainkan orang-orang berkulit hitam seperti orang-orang dari negara Afrika. Mungkin mereka tahan dengan cuaca yang amat panas.

 
Alhamdulillah kami akhirnya selesai bertahallul dan ini menandakan selesainya umrah kami. Hari-hari seterusnya kami melaksanakan tawaf sunat dan solat di Masjidil Haram sahaja. 

Gambar menara jam tertinggi. Kami pernah menemui pekerja-pekerja yang memasang jam tersebut pada umrah beberapa tahun yang lepas. Mereka merupakan rakyat Malaysia. Rasa bangga kerana jam yang cantik dan tersergam indah mempunyai sentuhan dari Malaysia. Di Mekah kami hanya sempat bermalam selama 2 malam sahaja. Hari ketiga selepas waktu Asar kami bertolak ke Jeddah.

Di Jeddah, kami sempat memenuhi jemputan Konsulat Malaysia di Jeddah untuk makan malam di rumah Malaysia. Selepas itu kami terus dibawa ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya siri perjalanan ke Timur Tengah 2013 berjaya ditamatkan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...