Kali terakhir saya membuat pemeriksaan kesihatan adalah pada penghujung tahun 2012 dengan syarikat tempat bekerja. Alhamdulillah tempat bekerja lama saya menyediakan pemerikasaan kesihatan kepada kakitangannya setiap 2 tahun sekali. Pemeriksaan kesihatan untuk mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas lebih terperinci. Memang beruntung kakitangan kerana mereka dilindungi dengan pakej kesihatan diri dan keluarga termasuk insurans/ takaful. Tetapi itu dulu.
Oleh yang demikian pastikan apabila kita membuat pilihan untuk menjadi suri di rumah atau bekerja sendiri, faktor penjagaan kesihatan diambil kira terutama dari segi pengambilan insurans/ takaful. Kesihatan merupakan sesuatu yang mahal dan yang tidak boleh kita jangka. Di dalam perbelanjaan keluarga perlu dimasukkan kos penjagaan kesihatan. Selain pengambilan insurans/ takaful kesihatan, kita perlu memasukkan kos pemeriksaan kesihatan setiap tahun atau 2 tahun sekali. Apabila pemeriksaan sering dilakukan maka ia dapat mengurangkan risiko penyakit kronik dan penyakit secara mengejut. Malah kita dapat mengetahui sejauhmana tahap kesihatan kita, potensi atau kebarangkali untuk sesuatu jenis penyakit dan berpeluang mengatasi masalah kesihatan tersebut. Pemeriksaan kesihatan ini adalah penting terutama bagi mereka yang berumur 30 tahun dan ke atas.
Baru-baru ini saya berkunjung ke sebuah pusat penjagaan kesihatan yang menawarkan fasiliti pemeriksaan yang cukup lengkap dari segenap aspek merangkumi dari hujung rambut ke hujung kaki iaitu BP Healthcare Group. Konsep `walk-in' ini memudahkan pelanggan berkunjung tanpa membuat temujanji terlebih dahulu. BP Healthcare ini dibuka 7 hari seminggu iaitu 365 hari setahun. Dahulunya ia merupakan makmal pengujian dan analisis darah tetapi kini telah berkembang menjadi pusat rawatan dan mempunyai banyak cawangan.
BP Healthcare menyediakan banyak jenis pakej pemeriksaan kesihatan, dari serendah RM200 hingga ke ribuan harganya. Kami memilih pakej asas dengan ditambah sedikit analisa terutama bagi perempuan.
Kepada semua suri di rumah, ajak-ajaklah cik abang kita sekali membuat pemeriksaan kesihatan. Tabiat memeriksa kesihatan ini sudah terbiasa di kalangan suri kerana sering diperiksa ketika mengandung dan bersalin tetapi seringkali berlaku di pihak lelaki di mana ramai di kalangan mereka mempunyai kurang kesedaran untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Sebagai contoh ketika menguruskan pemeriksaan kesihatan kakitangan di syarikat lama dahulu, ada di kalangan pekerja lelaki yang menguzurkan diri dan memberi alasan ketika hari pemeriksaan kesihatan dibuat. Ini pernah berlaku kepada diri saya sendiri tetapi alhamdulillah selepas suami mengetahui tahap kesihatannya yang rendah, tabiat ini telah bertukar. Kita akan mendapat tahu tahap kolesterol, glukos, tekanan darah dan sebagainya.
Apapun pilihan hospital atau pusat kesihatan anda, yang utama ialah melakukan pemeriksaan sekerap setahun sekali atau 2 tahun sekali agar kesihatan kita sebagai ibu dan bapa yang menjadi tonggak keluarga berada di tahap yang baik dan memuaskan. Pengambilan insurans/ takaful kesihatan semata-mata tidak mencukupi kerana ia adalah perlindungan setelah kita dikenalpasti dengan penyakit dan dirawat di hospital tertentu. Dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, kita berusaha mempersiapkan kesihatan diri kita di tahap optimum. Dengan kata lain mencegah adalah lebih baik dari merawat. Harapan saya agar semua para suri dapat menjaga diri dan menjaga kesihatan anda.
`Your wealth is your health'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan