Iklan

Selasa, 24 Disember 2013

Pendakap Gigi `Braces' Widad

Hari ini saya menemankan anak sulung saya menyudahkan pemasangan `braces' yang terakhir. Pemasangan dilakukan secara berperingkat kerana penemuan bengkak di gusinya sebelum ini menyebabkan tidak boleh dipasang sekaligus. Pemakaian pendakap gigi ini bukanlah sesuatu yang murah seperti harga untuk mencuci atau mencabut gigi. Oleh itu bagi mereka yang berhajat memakai `braces' sediakan peruntukan secukupnya. Anggaran kos untuk keseluruhan pemasangan dan rutin penjagaan bulanan adalah dari RM2500 hingga RM8500 selama 2 tahun. Harga ini biasanya normal di klinik pakar ortodontik swasta. Hospital kerajaan mungkin lebih murah tetapi pemakaiannya dikatakan lebih lama sehingga 5 tahun (maklumat ini didapati secara hearsay sahaja, sila dapatkan maklumat lebih sahih dari hospital).
 
Inilah pengalaman pertama saya melihat cara pemasangan braces dibuat. Widad mempunyai masalah gigi sebelum ini di mana 2 gigi susu hadapannya tidak tanggal malah kuat seperti gigi kekal yang lain. Tetapi yang tidak moleknya gigi tersebut adalah kecil berbanding gigi-gigi lain. Setelah dirujuk ke klinik gigi, doktor mencadangkan agar gigi tersebut tidak perlu dicabut sehingga dia berada di sekolah menengah kerana doktor akan mencadangkan rawatan lain. Hasil X-ray juga menunjukkan bahawa tiada gigi baru akan tumbuh sekiranya gigi-gigi susu itu dicabut. Akhirnya menjelang usianya 15 tahun rawatan susulan dibuat bagi memperbaiki struktur giginya yang kebetulan agak jarang.
 
 Nampak tak 2 gigi susu comel di bahagian bawah tu
Dah siappun colourful braces
 
Apabila dah siap, terkejut sekejap sebab pendakap giginya berwarna-warni. Remaja zaman sekaranglah katakan. Selain berus gigi, dibekalkan berus kecil, wax dan ubat penahan sakit sekiranya berasa ngilu dan sebagainya pada peringkat awal.
 Berus khusus untuk membuang sisa makanan
 Stok berus (dah masuk pakej bayaran agaknya)
 Wax untuk mengurangkan geseran braces
 

Banyak lagi prosedur selepas pemakaian braces iaitu untuk mencabut gigi susu, membuat bridges dan sebagainya. Kos rutin rawatan bulanan juga perlu diperuntukkan. Ya Mama! Bersedialah dengan ongkosnya. Bagi mereka yang mempunyai gigi yang tidak sekata boleh juga membuat rawatan dengan pakar ortodontik. Pendek kata apa sahaja masalah gigi boleh dirawat dengan kepakaran dan teknologi baru. Anda ingin cuba?  Boleh saja, buat temujanji dengan doktor dan buat pemeriksaan gigi anda.
 
 
 
 
Saya secara peribadinya memang takutkan doktor gigi sejak kecil sehingga dewasa. Memeriksa gigi, scalling dan mencabut gigi dibuat dengan hati yang terpaksa. Kengiluannya lebih saya gentar berbanding sakit bersalin. Mujurlah anak-anak saya tidak begitu.
 
Pagi tadi tatkala meninggalkan SOHO saya merasa sedih kerana terpaksa menangguhkan rutin kerjaya kecilku di bidang pelaburan yang baru bermula tetapi demi anak-anak terpaksalah dikorbankan. Moga Allah memberikan yang lebih baik pada masa depan insyaallah. Bergerak dalam satu kumpulan para suri yang bekerja di rumah juga telah memberikan satu kekuatan bagiku untuk terus maju dan berjaya bersama keluarga tercinta. Sampai jumpa lagi, assalamualaikum! 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...