Iklan

Jumaat, 10 Januari 2014

Resipi Pengat Labu

Petang ini cuaca redup kedinginan. Mungkin disebabkan hujan sedikit pada waktu pagi dan renyai sebelum solat Jumaat tengahari tadi. Saya di SOHO selesa duduk di meja makan ruang tamu dengan tiupan angin luar semulajadi yang menenangkan. Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan untuk minggu ini. Seronok rasanya kerana cuti pada Sabtu dan Ahad dapat dimanfaatkan bersama keluarga. 5 hari sibuk dengan rutin suri bekerja di rumah dan urusan rumahtangga. Saya sebagai suri di rumahpun gembira nak cuti, inikan pula anak-anak yang bersekolah. Patutlah jika dihantar tuisyen pada hujung minggu, anak-anak saya asyik merungut saja.

Hari ini saya berhasrat nak menyediakan minum petang yang istimewa sebagai meraikan kepulangan anak-anak dari sekolah dan suami dari pejabat. Menu petang ini ialah pengat labu. Biasanya saya membeli sebiji labu, separuh dibuat sayur untuk masakan dan separuh sebagai pengat. Namun anak-anak tidak suka makan labu dalam masakan. Oleh kerana itu sebagai mengambil langkah berjimat (yang bermaksud membeli sekadar keperluan dan dimakan oleh semua orang), saya hanya membeli labu separuh sahaja. Anak-anak saya memang sukakan pengat labu dan pengat pisang. Tetapi yang saya kurang seronok ialah memotong kulit labu yang keras :( kalau kulit pisang mudah ajekan!

Bahan-bahannya :

1. Labu (banyaknya bergantung kepada anda)
2. Sagu (3 sudu besar)
3. Gula Melaka
4. Santan (1/2 biji/ sebiji kelapa)
5. Sedikit gula pasir
6. Air
7. Daun pandan


Cara Membuatnya :

Labu dibersihkan dan dipotong-potong sederhana kecil. Sagu dibasuh dan ditoskan. Masukkan secawan dua air ke dalam periuk, masukkan sagu dan tunggu sehingga sagu masak. Tanda sagu masak ialah warna putihnya berubah menjadi jernih dan ia mengembang. Selalulah kacau sagu di dalam periuk, jika tidak ia akan melekat atau bergumpal-gumpal. Selepas itu masukkan labu yang dipotong tadi dan tambah air jika hampir kering.

Apabila labu setengah masak, masukkan daun pandan, gula Melaka dan santan. Kalau nak gantikan santan dengan susupun boleh, lagi berkhasiat. Ada juga yang meletakkan secubit garam untuk menyedapkan kuah katanya. Biasanya saya tak letak, lagipun saya kena berhati-hati dengan pengambilan garam untuk memastikan darah tinggi saya cepat sembuh. Kemudian, kacau masakan tersebut dan biarkan seketika supaya gula tersebut hancur, labu masak dan kuahnya serasi.  Jangan biarkan terlalu lama kerana labu akan terlalu masak dan hancur. Sebaik sahaja mendidih, rasa kuah tersebut, kalau kurang manisnya tambah sedikit gula pasir. Tapi jangan terlalu banyak, agak-agak manis buah eloklah. Eh! Jangan lupa hidangkan bersama teh o atau kopi o, kurangkan susu kerana pengat sudah bersantan. Sebagai suri kita mestilah tahu sedikit sebanyak info kesihatan, elok mencegah dari merawat penyakit. Kurangkan garam dan gula dalam masakan. Chewahh! Menasihatkan diri sendiri sebenarnya sebab sayapun suka manis-manis ni.
Pengat labu saya sudahpun masak. Jemputlah mencuba resepi ini untuk hidangan keluarga anda. Mesti anak-anak saya suka. Mereka bukan sahaja suka sebab minuman petang sudah tersedia, tetapi mereka lebih gembira sebab saya sudah menjadi suri bekerja di rumah. Sebagai ibu, saya dapat rasakan perbezaan kegembiraan anak-anak saya apabila saya sentiasa ada di rumah bersama mereka.

Mudah bukan resepi minum petang untuk para suri di rumah. Yang di pejabatpun boleh mencuba resepi ini pada hujung minggu nanti. Sampai jumpa lagi para suri, jaga diri anda dan ceria selalu.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum sis..mohon share resepi yer..
    jemput singgah ke blog sy yg masih baby lagi..:)
    naniarshad.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam.
    Boleh..boleh..jemput berkongsi resepi yang diberikan.
    Insyaallah nanti saya blogwalking ye...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...