Iklan

Khamis, 9 Januari 2014

Rutin Suri Yang Baru Bekerja Di Rumah

Sejak menjadi suri bekerja di rumah, hati rasa tenang, fikiran jadi lapang, hilang semua tekanan dan rasa ceria selalu. Bukan nak promosi tetapi itulah realiti. Namun rutin suri bekerja di rumah rupa-rupanya amat padat dan ketat. Mungkin jika suri tersebut hanya menjadi suri rumah dan tiada komitmen mengenai urusan kerja, masanya lebih lapang. Walaupun saya menjadi suri bekerja di rumah, waktu bekerja saya di SOHO (small office home office) bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang. 

Seawal 5.30 pagi sudah bangun menyediakan sarapan untuk anak-anak ke sekolah. Selesai urusan di dapur hendaklah memastikan anak-anak sudah bersiap sedia ke sekolah. Kalau ada masa, mereka akan bersarapan, kalau tidak hanya membawa bekal sahaja. Bergegas saya menghantar mereka ke sekolah. Kadang-kadang macam superwoman rasanya hinggakan sampai di pagar sekolah betul-betul 7.29 pagi. Saya hanya menghantar anak-anak pada waktu pagi dan tengahari, penghantaran balik mereka saya aturkan dengan van kerana saya rasa penat dan habis masa di jalan raya. 2 orang anak saya yang besar pula sudah di sekolah menengah berasrama.

Usai menghantar anak-anak ke sekolah rendah, baju-baju kotor sudah sedia untuk dibasuh ke dalam mesin basuh. Selepas itu bermulanya aktiviti membangunkan anak yang bongsu  ke tadika di mana aktiviti ini kadang-kadang amat mencabar emosi dan fizikal. Mana taknya banyak alasan dibuatnya untuk tidak ke sekolah atau satu rumah saya terpaksa berlari mengejarnya. Saya pula memang sengaja menukar sesi persekolahannya dari tengahari ke waktu pagi dengan harapan pada tahun hadapan dia akan mudah bangun pagi untuk ke sekolah rendah. Tambahan pula saya sudah bergelar suri rumah sepenuh masa jadi saya susun masa agar saya tidak perlu keluar banyak kali. Selesai menghantar si kecil Imran ke tadikanya jam 8.30 pagi, saya perlu cepat menguruskan rumah seperti menyapu di laman rumah dan ruang tamu. Lauk-pauk untuk dimasak tengahari telah saya keluarkan dari freezer agar memudahkan saya memasak untuk tengahari nanti. Baju-baju sekolah yang perlu digosok, saya gosok berdikit-dikit.

Masa berlalu begitu pantas, kadang-kadang terlajak sehingga jam 9.30, tapikan namanya pejabat sendiri, saya jadi boss sendiri jadi saya maafkan sajalah diri saya, hehe... Bila tak sempat tu, kadang-kadang saya bersarapan di depan komputer atau kadang-kadang saya lewatkan sarapan sebab hendak makan bersama si kecil nanti. Sayapun mengadap mini notebook saya dan memulakan aktiviti perniagaan saham saya. Sambil-sambil itu saya mengemaskini fanpage Miracle saya dan mengambil order untuk COD (bayaran tunai semasa penghantaran) atau order untuk pengeposan. Bulan Januari ini barulah saya betul-betul melibatkan diri dalam perniagaan saham setelah pergi berkursus 2 kali. Alhamdulillah dengan mendapat restu suami dan selalu mengikuti perkembangan saham, saya telah berjaya membeli beberapa saham yang mampu milik dengan modal yang saya ada. Sekarang insyaallah saya sedang menanti masa untuk menuai beberapa saham yang akan mencecah ROI yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang berminat dengan perniagaan saham, pergilah menghadiri apa-apa seminar atau kursus. Ilmu dengan berguru atau mentor lebih berkesan. Pembungkusan tempahan Miracle pula biasanya saya akan siapkan pada waktu malam jadi saya akan ke pejabat pos selepas menghantar anak-anak saya ke sekolah agama selepas jam 2.30 petang. Jika ada COD juga saya akan buat penghantaran 2 atau 3 hari sekali. 

Urusniaga saham akan berhenti rehat jam 12 tengahari hingga 2.30 petang dan saya juga akan memulakan kerja-kerja memasak di dapur. Anak-anak akan sampai di rumah sebelum jam 2 petang. Setengah jam sahaja untuk mereka solat, salin pakaian dan makan. Kadang-kadang kesian juga kepada mereka tetapi saya tidak boleh berkompromi untuk tidak ke sekolah agama. Bekalan agamalah yang menjadi tujuan utama hidup kita di dunia. Jam 2.30 petang saya akan sekali lagi menghantar mereka dan kalau ada apa-apa urusan luar, saya akan manfaatkan pada waktu ini. Kalau tiada urusan memang saya tidak akan keluar rumah kerana semua urusan bayaran kebanyakannya hanya di hujung jari dan saya akan masuk semula ke SOHO sehingga jam 5 petang. Sambil-sambil itu baju di jemuran sudah diangkat, dapur siap dikemas dan minum petang disediakan. Mujurlah anak saya yang kecil jenis bermain sendiri dan tidak mengganggu urusan saya. 
Jam 6 petang, anak-anak saya pulang ke rumah dengan wajah kepenatan. Kami minum petang bersama sambil bermain di tepi laman rumah atau sambil menonton televisyen di dapur. Sekali lagi suri ke dapur untuk menyiapkan makan malam sambil anak-anak membersihkan diri untuk bersolat dan berehat sebentar sementara menantikan jam 8.00 malam untuk makan malam.   Selepas itu suri menemankan anak-anak menyiapkan kerja sekolah, membaca buku dan mengemas beg sambil melipat pakaian. Selewat-lewatnya jam 10.30 malam, anak-anak dikerah untuk tidur agar mereka mendapat tidur yang cukup. Kadang-kadang di cuti hujung minggu, mereka dibenarkan tidur lewat untuk menonton movie. Inilah rutin suri yang baru memulakan kerja di rumah mulai Januari 2014. Walaupun masa yang ada dipenuhi dengan banyak aktiviti, namun masa bersama anak-anak memang banyak berbeza sewaktu saya bekerja di pejabat dahulu. Syukurlah saya berhenti kerja semasa anak-anak saya masih kecil dan bersekolah. Hubungan kami bertambah rapat dan erat.

Bagi para suri yang mahu memulakan kerja di rumah, aturkan jadual dan aktiviti anda agar anda dapat menguruskan kehidupan anda dengan lebih baik dan berkualiti. Jadual saya ini bukanlah yang terbaik tetapi sesuai dengan situasi saya. Anda boleh lakarkan jadual anda yang akan menjadi rutin yang berkesan kepada anda dan keluarga. Sudah tentu dengan bekerja di rumah anda masih dapat menambahkan pendapatan sampingan dan mengukuhkan ekonomi keluarga anda. Kan best ada duit poket sendiri!

2 ulasan:

  1. Salam.

    Kalau tak keberatan boleh share berapa modal puan start utk perniagaan saham tu? Saya juga bekerja dari rumah ,tapi saya kagum dgn disiplin puan.. bagus...

    Saya juga ex student dao utk imkkdec2013 dan ampjan2014.

    Semoga puan sukses selalu.

    Siti,
    Http://facebook.com
    (Pakar produk songket)

    BalasPadam
  2. Wkmslm.

    Pn Siti, salam perkenalan dan terima kasih kerana sudi membaca catatan saya. Untuk perniagaan saham anda boleh bermula dari RM1000 sehinggalah jumlah besar yang anda mampu. Ini kerana ada saham yang bernilai di bawah 0.10 seunit dan minimum pembelian ialah 100 unit. Tetapi anda tidak akan mendapat kepuasan atau sekurang-kurangnya merasa keuntungan dari bisnes ini. Saya juga tiada modal yang besar tetapi saya nasihatkan anda bermula dengan RM10k. Pastikan anda membuat `paper trade' terlebih dahulu supaya anda mahir dan sekurang-kurangnya faham tentang perjalanan dan bisnes saham ini. Dan carilah kelas2 ilmu berkaitan saham supaya kita tak tersasar dan syok sendiri. Siti boleh add saya di fb Azhana AMutalib. Terima kasih.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...