Iklan

Rabu, 11 September 2013

Secebis Pengalaman Ketika Panggilan Haji Kali Pertama

1 Zulkaedah 1434 Hijrah bersamaan 7 September 2013, penerbangan pertama jamaah haji Malaysia berangkat ke Madinah dan Mekah untuk menunaikan Rukun Islam kelima. Alhamdulillah setiap tahun ramai umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadah rukun ini. Mendengar rakan-rakan yang mendapat panggilan menunaikan ibadah haji ini menyebabkan saya teringat pengalaman saya ketika dijemput Allah menunaikan ibadah ini pada tahun 2009 yang lalu.
 
Ramai jamaah di musim haji
Saya dan suami meletakkan target untuk mengerjakan haji sebelum usia kami 40 tahun kerana khuatir kalau tidak mampu mengerjakan ibadah tersebut dengan sempurna pada usia yang semakin meningkat. Walau bagaimanapun saya amat kagum dengan semangat atuk, nenek, opah, tok wan, pakcik dan makcik yang sudah berumur 50 tahun ke atas tetapi masih kuat dan bersemangat mengerjakan ibadah tersebut. Kami mendaftarkan haji sebaik sahaja kami telah mendapat kerja tetap dan saya melahirkan cahaya mata pertama dan tahun haji yang telah ditetapkan untuk kami ialah pada tahun 2010. Namun dalam usia yang muda simpanan yang ada hanyalah di Tabung Haji dan tabung itu jugalah yang digunakan sekiranya ada keperluan. Wang kami setiap tahun bertambah kerana saya membuat potongan gaji untuk saya, suami dan anak-anak. Akan tetapi wang tersebut juga bertambah susut setiap tahun cuma kami agak mendisiplinkan diri untuk tidak menggunakan wang anak-anak. Lagipun wang anak-anak juga tidak banyak kerana potongan gaji anak-anak hanya dalam jumlah yang kecil. Usaha menabung ini saya contohi jejak Allahyarham ayah saya yang membuat potongan gajinya terhadap anak-anak sebanyak RM5.00 sehingga kami semua dah di peringkat universiti. (Bila difikir-fikirkan malunya sebab dah besarpun ayah masih simpankan duit, dahlah RM5 pulak tu ;)) Namun syukurlah berkat usaha ini saya masih menyimpan untuk anak-anak agar pada suatu masa nanti mereka dapat mengerjakan haji di usia yang muda.
 
Manusia merancang tetapi Allah yang menentukan semuanya. Kami ditakdirkan berada dalam senarai `standby' sepertimana dimaklumkan oleh pegawai Tabung Haji ketika kami mengeluarkan wang pada akhir Disember 2008. Kemudian kami dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan wang lagi dan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya RM10,000 seorang. Ibarat sebuah loceng yang mengejutkan kami kerana walaupun kami sudah mendaftar tetapi kami tidak serius menyimpan wang secukupnya. Sejak peristiwa tersebut kami tidak lagi mengganggu wang simpanan tersebut dan akhirnya pada musim haji tahun 2009 kami ditawarkan mengerjakan haji iaitu awal setahun dari tahun sepatutnya kerana ketika itu virus H1N1 baru merebak di sana dan mungkin ada jamaah yang menolak diri.
 
SELAMAT BERANGKAT WAHAI TETAMU-TETAMU ALLAH! LABBAIKALLAHUMMA LABBAIK, LABBAIKALA SYARIKALALA LABBAIK
Banyakkan menyebut Labbaik Allahumma Labbaik yang bererti kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah. Labbaika la syarika laka labbaik yang bermaksud tiada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu. Innal hamda wan ni’mata laka wal mulk la syarika laka yang bermaksud sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu.
 
Walaupun tidak berada di Tanah Suci tetapi kami sentiasa menanti kedatangan musim haji untuk menyemarakkan perasaan cinta, sayang dan kerinduan kami pada Mekah dan Madinah. Kami sering menghantar saudara dan rakan sekiranya berkelapangan di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. Di sana semangat haji amat terasa. Cubalah anda berkunjung ke sana. Ok cukuplah coretan pengalaman saya ketika hendak mengerjakan haji buat kali pertama. Nantikan dalam entri-entri akan datang tentang pengalaman saya dan suami menunaikan haji di tanah Haram yang mulia.
 


Saya di depan Kaabah
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...