Iklan

Ahad, 22 September 2013

Kesan Positif Dengan Kaedah Personal Coaching

Perhatian ibu dan bapa amatlah penting kepada anak-anak. Sesibuk manapun kerja, tumpuan dan kasih sayang perlu dicurahkan kepada mereka. Sehebat manapun kerjaya kita, anak-anak merupakan masa depan dan aset kita untuk bersoaljawab dengan Allah di akhirat kelak. Namun tugas mendidik anak-anak ini bukanlah semudah seperti formula campur, tolak, darab dan bahagi. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan terutama dalam melayan karenah mereka dan menyeimbangkan emosi kita tatkala nafsu amarah melanda. Setiap orang anak mempunyai sikap yang berbeza. Jika 3 orang anak, 3 macamlah gayanya. Begitulah saya yang mempunyai 5 orang anak. Setiap seorang tidak sama, ada yang rajin, pendiam, nakal dan macam-macam lagi kehendak dan sikap yang dipamerkan. Tetapi akhirnya semua karenah mereka mendambakan perhatian dan kasih sayang kita. Kalau kita tidak mengambil berat tentang perhatian anak-anak kita, mereka tentu akan berpaling mencari sumber kasih sayang yang lain atau tidak lagi menghiraukan kita sebagai ibu dan bapa.
 
Saya bersyukur kerana telah mengambil persaraan awal baru-baru ini dan kemudiannya bekerja dengan tempoh masa yang lebih baik berbanding dulu. Justeru waktu malam saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dan pendidikan anak-anak. Anak ketiga saya, Ziyad berumur 11 tahun dan anak keempat saya, Madiha  berumur 9 tahun. Saya mengakui pada masa lepas kurang perhatian diberikan kepada pelajaran anak-anak kerana tumpuan lebih kepada kerja sehingga sering balik malam. Sudah tentu masing-masing (ibu bapa dan anak-anak) dah kepenatan dan tidak dapat membantu perkembangan pelajaran anak-anak dengan baik. Apabila keadaan berubah maka perhatian saya kepada anak-anak juga semakin bertambah. 2 orang anak saya ini pelajarannya sederhana. Apabila tumpuan khusus diberikan kepada mereka terutama sewaktu mengulangkaji pelajaran bersama-sama menjelang peperiksaan, anak-anak akan lebih bersemangat. Alhamdulillah saya melihat kemajuan dalam pelajaran mereka. Kalau dulu tak pernah ada A, sekarang ada beberapa subjek yang mendapat A. Kalau dulu mendapat nombor di akhir sekarang Ziyad mendapat dalam nombor dalam lingkungan 15 yang pertama malah  yang paling mengejutkan saya, Madiha berjaya mendapat nombor 1 dalam kelasnya.  Personal coaching saya semakin terbukti berkesan apabila suami juga turut serta dan dapat memberi fokus masing-masing kepada seorang anak. Baru-baru ini dalam peperiksaan di sekolah agama, Ziyad berjaya mendapat nombor 3 dan Madiha berjaya mendapat nombor 5. Peningkatan subjek yang mendapat A juga meningkat. Nombor bukanlah sesuatu yang sangat penting tetapi ia memberi ukuran terhadap perubahan anak-anak saya dalam pelajaran. Personal coaching yang melibatkan kedua ibu dan bapa akan lebih memberi kesan kerana anak-anak akan banyak bertanya dan mempunyai ragam mereka masing-masing. Jika personal coach  memberi tumpuan khusus, anak-anak yang nakal tidak akan mengambil kesempatan (macam anak saya) untuk tidur, lari bermain ketika anak yang lain sedang dibimbing, leka dan lain-lain alasan kreatif mereka. Namun kedua-dua ibu dan bapa perlu persefahaman dan banyak melakukan perbincangan bersama demi kebaikan dan masa depan anak-anak.

 
Namun demikian tidak semua anak-anak memerlukan perhatian dengan nisbah 1:1 kerana berdasarkan pengalaman saya ada anak-anak yang independent di mana kita hanya perlu berada di sisi mereka untuk menjawab sebarang pertanyaan atau memastikan mereka tidak hilang fokus ketika sesi pembelajaran atau sebagai peneman ketika belajar. Dalam kes saya, 2 orang anak pertama dan kedua lebih independent manakala anak ketiga dan keempat lebih memerlukan perhatian tersendiri.
 
Cubalah analisa perkembangan pelajaran anak-anak dan lihat keupayaan serta keperluan mereka. Tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diletakkan 100% kepada guru-guru sekolah, guru-guru tuisyen atau pengasuh mereka. Kita sebagai ibu bapa perlu memastikan potensi anak-anak dapat dimaksimumkan sepenuhnya dalam apa jua bidangpun supaya mereka tidak tercicir pada masa depan. Selain usaha yang kita lakukan, doa dan pengharapan kepada Allah swt hendaklah sentiasa dipanjatkan agar anak-anak kita menjadi orang yang berguna untuk agama, bangsa dan Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...