Iklan

Selasa, 11 Februari 2014

Dilema Suri Sempurna

Menjadi suri rumah yang bekerja di rumah yang sempurna bukanlah mudah. Hampir 2 bulan saya melaluinya. Begitu mencabar emosi, mental, fizikal dan intelektual. Yalah, sebelum ini saya wanita berkerjaya, bekerja di pejabat, sesekali keluar untuk mesyuarat atau ke cawangan. Pulang ke rumah hanya memasak dan mengemas serba sedikit di dapur. Pembantu rumah juga ada untuk meringankan pekerjaan di rumah. Namun itu dulu, sekarang saya bekerja sendirian di rumah, masa lebih fleksibel dan bebas dan membesarkan anak-anak 5 orang di depan mata. Namun saya masih lagi tercari-cari formula menguruskan rumahtangga dengan `superb'.

Membuat kerja-kerja dalam rumah dan luar rumah secara 100% dan sekaligus memang tidak mampu rasanya. Kalau saya berusaha membuatnya ibarat tak cukup kaki dan tangan dan akhirnya saya kelelahan. Saya sering terfikir-fikir cara mengatasi kekecewaan ini. Akhirnya saya mengatasi situasi ini dengan membina jadual rutin fleksi bagi suri bekerja di rumah. Janganlah anda terlalu `strict' dengan jadual tersebut seperti jadual waktu di sekolah. Anda cuba melaksanakan tugas rutin sahaja terlebih dahulu setiap hari. Kemudian apabila anda sudah biasa dengan rutin tersebut, anda cuba masukkan rutin baru atau kerja tambahan sedikit demi sedikit. Contoh yang paling mudah tetapi `malas' bagi saya ialah menyiram pokok, mengemop rumah dan melipat baju.

Setelah beberapa minggu mengejar jualan promosi untuk bisnes sampingan, hari ini saya ingin bersantai dan menghiburkan diri. Terapi saya mudah sahaja. Selepas menghantar Imran ke tadika, saya menyiram kebun kecil saya di sekitar halaman rumah. Rasa puas melihat pokok dan tanaman tersebut mendapat jirusan yang terbaik dari saya. Padahal menyiram pokok merupakan kerja yang saya amat malas satu waktu dahulu. Tetapi sekarang, jika sehari tidak siram, rasa bersalah dan kesian kepada pokok-pokok tersebut. Sekarang pula cuaca panas. Lama rasanya tak hujan di kawasan saya ini.



Tambah seronok sambil-sambil menyiram tu baru perasan anak buluh muncul. Dapatlah saya memasak rebung lagi. Kadang-kadang pokok cili berbuah, daun kesum segar elok dan buah-buahan yang ditanam menjadi. Berbunga-bunga rasa hati. Bagi saaya ia merupakan pengubat jiwa, segala kepenatan hilang begitu sahaja.

Menjadi suri di rumah memerlukan terapi. Walaupun tiada lagi tekanan yang dialami seperti di pejabat, tetapi saya perlukan `hiburan' untuk minda, dan emosi. Mungkin sesetengah orang suka menonton televisyen, mendengar radio, mengaji, menjahit dan sebagainya. Saya jarang sekali menonton televisyen cuma sesekali waktu menemankan anak-anak makan di dapur kerana di dapur ditempatkan sebuah televisyen.
Apapun situasi anda sebagai suri, pastikan minda, emosi, rohani dan jasmani anda sihat. Jika ada antaranya kurang `sihat', muhasabah kembali. Mungkin sebagai suri anda terlalu kuat bekerja sehingga tiada rehat yang sempurna atau jiwa anda sentiasa rasa tidak tenang atau kesihatan anda bertambah merosot. Penting untuk suri menyemak keadaan diri dan menyeimbangkan dalam semua aspek kerana suri merupakan tonggak sebuah keluarga. Apabila telah mengenalpasti kekurangan dan kelemahan tersebut, ambil masa membuat terapi yang bersesuaian dengan anda. Ketahuilah sukar untuk kita menjadi suri yang cukup sempurna di mata manusia, tetapi adalah amat bererti jika kita dapat melaksanakan tugas suri sesempurna mungkin dengan kapasiti diri kita sendiri.

Ceria dan segarkan diri anda para suri yang disayangi. Maniskan senyuman bukan maniskan minuman. Sampai jumpa lagi, jaga diri semua! 


2 ulasan:

  1. Assalammualaikum.. salam kenal... sangat terkesan dgn entri anda. Saya juga bakal bergelar WAHM dalam sedikit masa lagi.

    kuazue.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam. Salam perkenalan Kuazue. Welcome to the club! Kehidupan baru ini memang seronok. Jaga jasmani, emosi, rohani, intelek kita esp nak berhadapan dengan anak2 dengan pelbagai karenah. Enjoy your life!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...