Iklan

Jumaat, 10 Januari 2014

Resipi Pengat Labu

Petang ini cuaca redup kedinginan. Mungkin disebabkan hujan sedikit pada waktu pagi dan renyai sebelum solat Jumaat tengahari tadi. Saya di SOHO selesa duduk di meja makan ruang tamu dengan tiupan angin luar semulajadi yang menenangkan. Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan untuk minggu ini. Seronok rasanya kerana cuti pada Sabtu dan Ahad dapat dimanfaatkan bersama keluarga. 5 hari sibuk dengan rutin suri bekerja di rumah dan urusan rumahtangga. Saya sebagai suri di rumahpun gembira nak cuti, inikan pula anak-anak yang bersekolah. Patutlah jika dihantar tuisyen pada hujung minggu, anak-anak saya asyik merungut saja.

Hari ini saya berhasrat nak menyediakan minum petang yang istimewa sebagai meraikan kepulangan anak-anak dari sekolah dan suami dari pejabat. Menu petang ini ialah pengat labu. Biasanya saya membeli sebiji labu, separuh dibuat sayur untuk masakan dan separuh sebagai pengat. Namun anak-anak tidak suka makan labu dalam masakan. Oleh kerana itu sebagai mengambil langkah berjimat (yang bermaksud membeli sekadar keperluan dan dimakan oleh semua orang), saya hanya membeli labu separuh sahaja. Anak-anak saya memang sukakan pengat labu dan pengat pisang. Tetapi yang saya kurang seronok ialah memotong kulit labu yang keras :( kalau kulit pisang mudah ajekan!

Bahan-bahannya :

1. Labu (banyaknya bergantung kepada anda)
2. Sagu (3 sudu besar)
3. Gula Melaka
4. Santan (1/2 biji/ sebiji kelapa)
5. Sedikit gula pasir
6. Air
7. Daun pandan


Cara Membuatnya :

Labu dibersihkan dan dipotong-potong sederhana kecil. Sagu dibasuh dan ditoskan. Masukkan secawan dua air ke dalam periuk, masukkan sagu dan tunggu sehingga sagu masak. Tanda sagu masak ialah warna putihnya berubah menjadi jernih dan ia mengembang. Selalulah kacau sagu di dalam periuk, jika tidak ia akan melekat atau bergumpal-gumpal. Selepas itu masukkan labu yang dipotong tadi dan tambah air jika hampir kering.

Apabila labu setengah masak, masukkan daun pandan, gula Melaka dan santan. Kalau nak gantikan santan dengan susupun boleh, lagi berkhasiat. Ada juga yang meletakkan secubit garam untuk menyedapkan kuah katanya. Biasanya saya tak letak, lagipun saya kena berhati-hati dengan pengambilan garam untuk memastikan darah tinggi saya cepat sembuh. Kemudian, kacau masakan tersebut dan biarkan seketika supaya gula tersebut hancur, labu masak dan kuahnya serasi.  Jangan biarkan terlalu lama kerana labu akan terlalu masak dan hancur. Sebaik sahaja mendidih, rasa kuah tersebut, kalau kurang manisnya tambah sedikit gula pasir. Tapi jangan terlalu banyak, agak-agak manis buah eloklah. Eh! Jangan lupa hidangkan bersama teh o atau kopi o, kurangkan susu kerana pengat sudah bersantan. Sebagai suri kita mestilah tahu sedikit sebanyak info kesihatan, elok mencegah dari merawat penyakit. Kurangkan garam dan gula dalam masakan. Chewahh! Menasihatkan diri sendiri sebenarnya sebab sayapun suka manis-manis ni.
Pengat labu saya sudahpun masak. Jemputlah mencuba resepi ini untuk hidangan keluarga anda. Mesti anak-anak saya suka. Mereka bukan sahaja suka sebab minuman petang sudah tersedia, tetapi mereka lebih gembira sebab saya sudah menjadi suri bekerja di rumah. Sebagai ibu, saya dapat rasakan perbezaan kegembiraan anak-anak saya apabila saya sentiasa ada di rumah bersama mereka.

Mudah bukan resepi minum petang untuk para suri di rumah. Yang di pejabatpun boleh mencuba resepi ini pada hujung minggu nanti. Sampai jumpa lagi para suri, jaga diri anda dan ceria selalu.

Khamis, 9 Januari 2014

Rutin Suri Yang Baru Bekerja Di Rumah

Sejak menjadi suri bekerja di rumah, hati rasa tenang, fikiran jadi lapang, hilang semua tekanan dan rasa ceria selalu. Bukan nak promosi tetapi itulah realiti. Namun rutin suri bekerja di rumah rupa-rupanya amat padat dan ketat. Mungkin jika suri tersebut hanya menjadi suri rumah dan tiada komitmen mengenai urusan kerja, masanya lebih lapang. Walaupun saya menjadi suri bekerja di rumah, waktu bekerja saya di SOHO (small office home office) bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang. 

Seawal 5.30 pagi sudah bangun menyediakan sarapan untuk anak-anak ke sekolah. Selesai urusan di dapur hendaklah memastikan anak-anak sudah bersiap sedia ke sekolah. Kalau ada masa, mereka akan bersarapan, kalau tidak hanya membawa bekal sahaja. Bergegas saya menghantar mereka ke sekolah. Kadang-kadang macam superwoman rasanya hinggakan sampai di pagar sekolah betul-betul 7.29 pagi. Saya hanya menghantar anak-anak pada waktu pagi dan tengahari, penghantaran balik mereka saya aturkan dengan van kerana saya rasa penat dan habis masa di jalan raya. 2 orang anak saya yang besar pula sudah di sekolah menengah berasrama.

Usai menghantar anak-anak ke sekolah rendah, baju-baju kotor sudah sedia untuk dibasuh ke dalam mesin basuh. Selepas itu bermulanya aktiviti membangunkan anak yang bongsu  ke tadika di mana aktiviti ini kadang-kadang amat mencabar emosi dan fizikal. Mana taknya banyak alasan dibuatnya untuk tidak ke sekolah atau satu rumah saya terpaksa berlari mengejarnya. Saya pula memang sengaja menukar sesi persekolahannya dari tengahari ke waktu pagi dengan harapan pada tahun hadapan dia akan mudah bangun pagi untuk ke sekolah rendah. Tambahan pula saya sudah bergelar suri rumah sepenuh masa jadi saya susun masa agar saya tidak perlu keluar banyak kali. Selesai menghantar si kecil Imran ke tadikanya jam 8.30 pagi, saya perlu cepat menguruskan rumah seperti menyapu di laman rumah dan ruang tamu. Lauk-pauk untuk dimasak tengahari telah saya keluarkan dari freezer agar memudahkan saya memasak untuk tengahari nanti. Baju-baju sekolah yang perlu digosok, saya gosok berdikit-dikit.

Masa berlalu begitu pantas, kadang-kadang terlajak sehingga jam 9.30, tapikan namanya pejabat sendiri, saya jadi boss sendiri jadi saya maafkan sajalah diri saya, hehe... Bila tak sempat tu, kadang-kadang saya bersarapan di depan komputer atau kadang-kadang saya lewatkan sarapan sebab hendak makan bersama si kecil nanti. Sayapun mengadap mini notebook saya dan memulakan aktiviti perniagaan saham saya. Sambil-sambil itu saya mengemaskini fanpage Miracle saya dan mengambil order untuk COD (bayaran tunai semasa penghantaran) atau order untuk pengeposan. Bulan Januari ini barulah saya betul-betul melibatkan diri dalam perniagaan saham setelah pergi berkursus 2 kali. Alhamdulillah dengan mendapat restu suami dan selalu mengikuti perkembangan saham, saya telah berjaya membeli beberapa saham yang mampu milik dengan modal yang saya ada. Sekarang insyaallah saya sedang menanti masa untuk menuai beberapa saham yang akan mencecah ROI yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang berminat dengan perniagaan saham, pergilah menghadiri apa-apa seminar atau kursus. Ilmu dengan berguru atau mentor lebih berkesan. Pembungkusan tempahan Miracle pula biasanya saya akan siapkan pada waktu malam jadi saya akan ke pejabat pos selepas menghantar anak-anak saya ke sekolah agama selepas jam 2.30 petang. Jika ada COD juga saya akan buat penghantaran 2 atau 3 hari sekali. 

Urusniaga saham akan berhenti rehat jam 12 tengahari hingga 2.30 petang dan saya juga akan memulakan kerja-kerja memasak di dapur. Anak-anak akan sampai di rumah sebelum jam 2 petang. Setengah jam sahaja untuk mereka solat, salin pakaian dan makan. Kadang-kadang kesian juga kepada mereka tetapi saya tidak boleh berkompromi untuk tidak ke sekolah agama. Bekalan agamalah yang menjadi tujuan utama hidup kita di dunia. Jam 2.30 petang saya akan sekali lagi menghantar mereka dan kalau ada apa-apa urusan luar, saya akan manfaatkan pada waktu ini. Kalau tiada urusan memang saya tidak akan keluar rumah kerana semua urusan bayaran kebanyakannya hanya di hujung jari dan saya akan masuk semula ke SOHO sehingga jam 5 petang. Sambil-sambil itu baju di jemuran sudah diangkat, dapur siap dikemas dan minum petang disediakan. Mujurlah anak saya yang kecil jenis bermain sendiri dan tidak mengganggu urusan saya. 
Jam 6 petang, anak-anak saya pulang ke rumah dengan wajah kepenatan. Kami minum petang bersama sambil bermain di tepi laman rumah atau sambil menonton televisyen di dapur. Sekali lagi suri ke dapur untuk menyiapkan makan malam sambil anak-anak membersihkan diri untuk bersolat dan berehat sebentar sementara menantikan jam 8.00 malam untuk makan malam.   Selepas itu suri menemankan anak-anak menyiapkan kerja sekolah, membaca buku dan mengemas beg sambil melipat pakaian. Selewat-lewatnya jam 10.30 malam, anak-anak dikerah untuk tidur agar mereka mendapat tidur yang cukup. Kadang-kadang di cuti hujung minggu, mereka dibenarkan tidur lewat untuk menonton movie. Inilah rutin suri yang baru memulakan kerja di rumah mulai Januari 2014. Walaupun masa yang ada dipenuhi dengan banyak aktiviti, namun masa bersama anak-anak memang banyak berbeza sewaktu saya bekerja di pejabat dahulu. Syukurlah saya berhenti kerja semasa anak-anak saya masih kecil dan bersekolah. Hubungan kami bertambah rapat dan erat.

Bagi para suri yang mahu memulakan kerja di rumah, aturkan jadual dan aktiviti anda agar anda dapat menguruskan kehidupan anda dengan lebih baik dan berkualiti. Jadual saya ini bukanlah yang terbaik tetapi sesuai dengan situasi saya. Anda boleh lakarkan jadual anda yang akan menjadi rutin yang berkesan kepada anda dan keluarga. Sudah tentu dengan bekerja di rumah anda masih dapat menambahkan pendapatan sampingan dan mengukuhkan ekonomi keluarga anda. Kan best ada duit poket sendiri!

Selasa, 7 Januari 2014

Mukha Cafe

Saya dan suami gemar mencuba makanan di restoran baru. Tetapi biasanya restoran itu mestilah dicadangkan oleh program JJCM, majalah atau kawan-kawan. Baru-baru ini kami berkunjung ke destinasi kafe terbaru yang terletak di Jalan Rahim Kajai, Taman Tun Dr Ismail. Kafe ini namanya Mukha. Mungkin asalnya dari mocha coffee kot!
Waktu operasi kafe ini seperti di atas. Kalau siapa-siapa yang datang untuk makan tengahari jangan terperanjat sebab kafe ni tak sediakan buku menu. Anda kena masuk ke kaunter di bahagian dalam kafe dan order menerusi dinding `blackboard' sahaja. Hanya menu `breakfast' sahaja ada sekeping laminated kertas senarai menu. Konsep kat sini lepas anda dah buat pesanan terus bayar. Jadi bila sudah habis makan, bolehlah terus balik.
Cadangnya kami nak bersarapan ala-ala Arab dengan kacang ful dan Qahwa. Rupa-rupanya menu itu bermula tengahari. Jadi pagi ini kami cuma bersarapan dengan omelette dan pancake sahaja. Tukar kepada sarapan modenlah pulak. Lupa nak ambil gambar makanan sebab dah habis baru teringat dan kongsikan cerita kafe ni. Lagipun dah terlalu lapar sebab sebelum tu mencari kafe berpusing-pusing. Tapi rasa dan design omelettenya ala-ala hotel. Pancakepun sedap, dihidangkan dengan 3 pilihan iaitu madu, butter dan syrup. Lain kali ye! Insyaallah saya pasti ke sini lagi untuk menikmati Qahwa yang enak dan kacang ful. Kafe ini istimewa dengan minuman kopi, ada pelbagai jenis kopi. Kami minta hazelnut coffee latee dan syai iaitu teh diletakkan pudina. Kopinya boleh tahan ala-ala coffee bean tetapi cepat sejuk, tehnya macam teh Arab tetapi agak pekat sedikit.

Di kafe ini terdapat banyak barang-barang antik contohnya seperti bekas gula dan beg-beg lama. Aha..satu lagi kerusi-kerusinya disusun berbeza. Semasa saya baru sampai di kafe dan ingin duduk, ingatkan mereka tersalah susun kerusi tetapi memang rekabentuk kedainya begitu. Memang cool betul kafe ni.
Walaupun suasana kafe macam old style tetapi pelanggan tetap ramai. Sepanjang kami di kafe, pelanggan tidaklah menyesakkan kedai seperti sesetengah restoran nasi lemak tetapi pelanggan tidak berhenti berkunjung. Oleh sebab itu, rasa selesa nak bersarapan dengan suami tercinta sambil lepak-lepak dan tenangkan fikiran.

Ini suasana di bahagian luar kafe. Tuanpunya kafe ni Melayu, orang muda lagi, insyaallah semua resepinya halal. Semua pekerja yang adapun muda-muda lagi. Ramai juga yang datang bersarapan di sini termasuklah bangsa bukan Melayu. Sesiapa yang nak cuba dan datang ke sini, boleh buat carian http://www.mukha.com.my untuk mendapatkan alamat penuh. Sayapun tentu akan datang semula untuk cuba menu-menu yang lain pula.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...