Iklan

Jumaat, 31 Januari 2014

Perjalanan ke Timur Tengah 2013 : Madinah, Mekah dan Jeddah (Siri 3)

Catatan Penghargaan :

Siri 3 perjalanan ke Timur Tengah ini merupakan siri terakhir dalam siri coretan saya sepanjang mengikuti lawatan kerja suami pada Disember 2013 yang lepas. Syukur saya ke hadrat Allah swt kerana berpeluang menjejakkan kaki ke sebahagian lagi Tanah Arab dan lebih-lebih syukur juga kerana dapat menunaikan ibadah umrah walaupun dalam tempoh yang amat singkat. Terima kasih kepada ahli-ahli rombongan atas ukhuwwah yang terjalin sepanjang kembara kita bersama dan terima kasih kepada pegawai dan para isteri kedutaan dan rakyat Malaysia yang telah melayan kami dengan begitu `awesome' sekali. Moga tali silaturrahim terus berkekalan dan moga Allah mengurniakan ganjaran kepada kamu semua. Terakhirnya, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada suami tercinta kerana sudi menanggung kos perjalananku, suri yang baru nak bekerja di rumah ini. 


***************************
Selesai sesi lawatan di Kuwait, kami perlu bergegas ke lapangan terbang Kuwait untuk penerbangan terus ke MadinatulMunawwarah. Alhamdulillah urusan imigresen dipermudahkan dengan bantuan daripada pegawai-pegawai di kedutaan Malaysia. Insyaallah jika ada ruang dan kelapangan masa, kami akan melawati bumi Kuwait lagi. Syukran wa ma'assalamah.

Menaiki Kuwait Airways tidaklah rasa terlalu teruja seperti menaiki Qatar Airways. Namun sifat kenderaan adalah sebagai kemudahan untuk bergerak ke satu tempat ke satu tempat yang lain. Syukurlah bila masih berkemampuan dan masih mempunyai kesihatan yang baik. Nasihat kepada diriku, usahlah membanding-bandingkan perkara keduniaan secara keterlaluan. Ya Allah! Ampunkan aku jika aku terlalu bersifat kebendaan dan keduniaan. Sentapkanlah hatiku dari terus berada dalam kelalaian. Sedang muhasabah diri, tiba-tiba muncul seorang penumpang wanita Arab tersenyum lalu duduk di sebelahku. Biasanya aku dan suami duduk sekali tetapi dalam Kuwait Airways tidak. Syukurlah apabila Allah berhajat mempertemukan aku dengan saudara seIslam yang lain.

Kenalan baruku bernama Hana. Lalu aku memberitahunya nama kita berdua hampir serupa. Seronok Hana mendengarnya dan beliau juga hendak ke Madinah dan seterusnya menunaikan ibadah umrah. Kenalan Kuwait ini rupa-rupanya berusia 45 tahun dan lancar berbahasa Inggeris dengan lenggok Arab. Patutlah boleh berbahasa Inggeris sebab dia bekerja sebagai juruanalisa sistem di Kuwait. Dok bersembang-sembang, sambil tu Hana memberitahu aku tentang kebaikan zikir-zikir dan amalan bacaan Al-Quran setiap hari. Mujurlah aku faham Bahasa Arab sikit-sikit. Rasa kerdil dan insaf sebab masa sekolah tak menguasai bahasa Arab sepenuhnya. Semuanya ketika di sekolah adalah menghafal, menghafal untuk peperiksaan. Akhirnya daku tak sempatpun nak terlena. Huhuhu...
 Ya Hanana! Aik nape dah tembam lak!

Rupa-rupanya sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan ibadah Haji, penduduk-penduduk di sekitar Tanah Arab akan berkunjung ke Baitullah dan Maqam Rasulullah saw. Patutlah mereka pelik dan bertanya bagaimana kami mendapat visa umrah. Terpaksalah aku terangkan bahawa kami dalam sesi lawatan ke beberapa buah negara Arab yang lain dan telah diberikan pengecualian untuk visa umrah. Oleh sebab itu di Malaysia dan di negara-negara lain, visa umrah sebenarnya akan dikeluarkan lewat sedikit kerana memberi peluang kepada penduduk-penduduk di sekitar Tanah Arab menunaikan ibadah umrah. Sampai di bumi Madinah, sempat saya dan Hana bertukar-tukar alamat email dan telefon bagi menyambung silaturrahim pada masa akan datang (tapi serius suri sibuk dan masih tak sempat menghubungi beliau).

Alhamdulillah bumi Madinah sedikit sejuk dan berangin. Di sekitar masjid nampaknya keadaan masih lengang dan memang ramai jamaah Arab. Rakyat Malaysia yang saya temuipun kebanyakannya yang bekerja di sekitar Jeddah, Madinah, Jubail dan tanah Arab lain. Kaum wanita tidak dapat menyertai program di Madinah, mungkin ia sedikit 'strict' jika dibandingkan dengan negara-negara Arab lain sebelum ini. Sayapun mengambil kesempatan berulang ke Masjid Nabawi sekerap mungkin dan syukur dapat beberapa kali ke Raudhah. Memikirkan masa yang suntuk dan perasaan khuatir telefon berkamera akan dirampas menyebabkan saya sering meninggalkan telefon di hotel. Oleh itu hanya beberapa keping gambar sahaja yang sempat dirakam. 


Di bawah kubah hijau terletak Maqam Rasulullah saw
Perkuburan Baqi'

Kami di Madinah tidak lama, hanya 2 hari 1 malam sahaja. Kemudian kami bersiap-siap untuk ke Mekah pula. Singgah di Bir Ali untuk solat sunat ihram dan berniat di miqat.
 Masjid Bir Ali tempat untuk bermiqat 
Kedai-kedai di sekitarnya
 Buah-buah yang segar dan tamar

Tidur yang kurang cukup, keletihan dan aktiviti yang cukup padat menyebabkan kami tertidur selepas selesai bertalbiah di dalam kereta. Kami sampai ke Mekah selepas waktu Asar. Selepas solat Maghrib dan Isya', kami makan malam dan berehat terlebih dahulu bagi memulihkan sedikit tenaga. Tengah malam barulah kami menyelesaikan umrah kami bermula dengan tawaf, kemudian saei terus bertahallul.

 
 Tawaf 7 kali mengelilingi Kaabah
Bekas tapak kaki Nabi Ibrahim as
 Pancuran emas, di bawahnya tempat solat Hijir Ismail
Alhamdulillah selesai solat sunat selepas tawaf. Kami hendak menunaikan saei pula di Safa dan Marwa. Gambar di bawah ini dahulunya tempat solat sepanjang jalan ke Safa dan Marwa, tetapi kini sedang dalam proses `renovation'. Tempat ini strategik untuk solat berjamaah selepas selesai menunaikan saei kerana dari tempat solat akan nampak Kaabah sepanjang masa.

Disunatkan bagi lelaki berlari2 anak sepanjang tempat ditandakan lampu hijau

Kenalan baru semasa umrah iaitu sebuah keluarga Syria yang menetap di Madinah. Suaminya bekerja di kilang coklat. Beliau beria-ria ingin berkenalan dan bertukar-tukar alamat email dan meminta kami datang ke rumah mereka di Madinah.
Suami terjumpa sahabat lama semasa di sekolah menengah. Lebih 20 tahun mereka tidak berjumpa. Sahabatnya membawa anak-anak dan isteri bersama menunaikan umrah. Saya juga memasang impian untuk membawa semua anak-anak bersama pada akhir tahun depan jika diizinkan Allah. Pada waktu selepas haji masyallah amat selesa menunaikan umrah lebih-lebih lagi jika membawa keluarga. Suhu kami di Mekah semasa ini ialah 20 C, berangin dan amat sejuk. Saya pernah beberapa kali menunaikan umrah di bulan Ramadhan. Masyaallah pesta ibadah di sini amat dirasai. Malam ibarat siang. Tetapi cuaca pada waktu siang amat panas dan kami jarang bertawaf pada waktu tengahari kecuali sewaktu tawaf widak. Namun pada waktu tersebutlah kurang orang yang bertawaf melainkan orang-orang berkulit hitam seperti orang-orang dari negara Afrika. Mungkin mereka tahan dengan cuaca yang amat panas.

 
Alhamdulillah kami akhirnya selesai bertahallul dan ini menandakan selesainya umrah kami. Hari-hari seterusnya kami melaksanakan tawaf sunat dan solat di Masjidil Haram sahaja. 

Gambar menara jam tertinggi. Kami pernah menemui pekerja-pekerja yang memasang jam tersebut pada umrah beberapa tahun yang lepas. Mereka merupakan rakyat Malaysia. Rasa bangga kerana jam yang cantik dan tersergam indah mempunyai sentuhan dari Malaysia. Di Mekah kami hanya sempat bermalam selama 2 malam sahaja. Hari ketiga selepas waktu Asar kami bertolak ke Jeddah.

Di Jeddah, kami sempat memenuhi jemputan Konsulat Malaysia di Jeddah untuk makan malam di rumah Malaysia. Selepas itu kami terus dibawa ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, akhirnya siri perjalanan ke Timur Tengah 2013 berjaya ditamatkan. 

Selasa, 28 Januari 2014

Countdown Promosi YES Miracle Refreshing

Huh! Huru-hara suri yang bekerja di rumah ini dibuat dek Miracle Refreshing Spray (MRS). Hari-hari terakhir harga gempaq makin mengakhiri. Baki 3 hari untuk sesiapa yang ingin memiliki produk `awesome' MRS dengan harga murah sangat. Bermula 1 Februari 2014 harga akan kembali seperti normal. Owner ke, Distributor ke, Agen ke, Dropshipper ke termasuklah Customer semuanya dah jatuh cinta dengan MRS, waktu dah hampir dinihari, setiap masa pesanan diterima, ada yang masih mengira stok, menyediakan tempahan pelanggan dan ada yang sedang mengira-ngira bilangan untuk dibeli. Cukup tak untuk mak, mertua, mak long, mak ngah, mak su dan sebagainya. Lagi pula nak balik kampung untuk cuti Raya Cina. Macam tak cukup aje. Ini dah penyakit namanya. Semua terjebak dengan Sindrom MRS. Best ke best! Mestilah best sebab MRS memberi kebaikan kepada semua orang.

Bagi pembaca yang pertama kali mengadap blog ini mestilah tertanya-tanya MRS tu apa bendanya. Cuba anda baca link ini dan link ini juga. Insyaallah, produk ini tidak menghampakan anda. Eloklah tukar minyak angin yang berbau satu rumah dengan minyak Miracle Refreshing yang harum dan menambat perasaan dan kesegaran si pengguna. Siapa yang tak mahu segar dan ceria sepanjang hari. Tidak tergaru-garu di kepala, di lengan, penuh kurap dan gatal. Tiada lagi keguguran rambut yang tegar, tiada lagi luka berair yang tak kering-kering, tiada lagi bengkak yang tak susut, tiada lagi kembung perut, tiada lagi masalah susah tidur dan sakit kepala. Jika anda mempunyai salah satu simptom dan situasi merimaskan ini, anda perlu menggunakan MRS secara kerap. Insyaallah kesannya akan dapat dirasa, dilihat dan dinikmati.

Saat-saat akhir ini (The countdown begins), untuk tidak menghampakan sesiapa yang ingin buat tempahan MRS, sila hubungi saya secara sms atau whatsapp 0133510426 (Azhana) untuk mendapatkan produk ini dengan segera. Kalau sesiapa yang membeli selepas tamat harga promosi kena ikut harga normallah ye.. Cuba tengok perbezaan harganya di bawah ni. Bukan ke begitu murah. Jangan berfikir-fikir lagi dan meragui keberkesanannya. 


Selain kegunaan untuk manusia, binatang peliharaanpun boleh juga. Tengok makcik ni, anaknya belikan MRS untuknya tetapi digunakan untuk kucing pula. Alhamdulillah kucing tersebut terus sihat. Ini hanyalah satu dari banyak testimoni yang telah dihantar oleh pengguna MRS ke pihak Miracle Refreshing. 


Anda bila lagi? Andapun boleh cipta testimoni sendiri. Ooo... sebelum terlupa saya nak kongsikan satu cara bagaimana hendak menyegarkan diri dan anggota badan kita sepanjang hari. Sekiranya anda biasa mandi air garam, titiskan sedikit ke dalam air tersebut. Mesti selepas mandi macam rasa baru keluar dari gua ais, segar dan berangin badan kita. Rasa terus nak meluncur ke tempat kerja, hehe... 

Juga peluang bisnes bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi agen MRS, harga promosi ialah RM299 sehingga 31 Januari 2014. Kalau yang baru-baru nak berniaga online atau offline, produk MRS ni memang sesuailah sangat. Jika jadi dropshipper, anda berkongsi kebaikan MRS dan menjualnya tanpa modal. Paling sesuai untuk suri rumah dan mereka yang ingin mencari pendapatan tambahan atau duit pasar. Siapa nak bagi komisyenkan, dahlah tak payah keluar modal sesenpun cuma modal air liur je.. itupun anugerah Allah. Syukur, Allah tidak pernah minta bayaran. Banyak sungguh nikmat Allah kepada hamba-hambaNya. Syukur.. syukur..

Kepada mereka yang telah menempah dan akan menempah lagi di lain kali, terima kasih atas sokongan anda. Kalau yang ingin mencuba, silakan dan berikan sokongan anda untuk produk bumiputera hasil kajian pihak MARDI yang telah dikomersialkan oleh MRS. Sudah tentu ianya halal dan boleh dibawa solat kerana kandungannya hanya minyak kelapa dara, minyak aromatherapi dan minyak mint. Moga khasiat MRS akan dapat diperkongsikan kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia insyaallah.



Rabu, 22 Januari 2014

Salah Faham Tentang Saham

Baca tajuk je orang dah salah fahamkan! Dahulu sayapun begitu. Punya persepsi negatif tentang saham terutama saham-saham yang diurusniaga di Bursa Saham Kuala Lumpur. Saham yang saya tahu dibenarkan hanya saham amanah dan saham bank rakyat. Yang lain saya anggap saham yang meragukan dan berkonsepkan judi. Jahilnya saya, bukan setahun dua malah berbelas-belas tahun tak pernah nak ambil tahu dan perbetulkan salah faham ini.

Syukur alhamdulillah tahun 2013 adalah tahun saya berjinak-jinak dengan kursus atau seminar bertujuan untuk peningkatan diri dan untuk meningkatkan keyakinan untuk bekerja sendiri. Yalah cita-cita menjadi suri yang bekerja di rumah akhirnya termakbul di penghujung tahun 2013. Sayapun tak salah pilih, seminar yang diikuti bermula dari Intensif Jutawan Industri, Seminar Mini Magnet, Seminar Usahawan, Workshop Dunia Pelaburan Saham, Emas dan Hartanah, Smart Investor Talk dan Advanced Smart Investor, semuanya di bawah naungan Richworks. Saya mendapatkan ilmu dari Mentor Pemasaran No. 1 di Asia dan ditemukan pula dengan jurulatih dan mentor jutawan saham di Malaysia. Benarlah dengan ilmu barulah tak langgar dinding, barulah yang salah faham diperbetulkan. Selain mempunyai mentor yang betul, saya juga mempunyai para seniors yang memberi tunjuk ajar dan teguran dalam group investors. Antaranya ialah Puan Roslinah Laikoi. Cuba tengok apa katanya.


Dari kita pergi dengar taklimat Skim Cepat Kaya baiklah pergi seminar berkaitan pelaburan saham. Kalau tak ada ilmu saham samalah seperti kita berjudi sebab kita tak tahu apa yang kita beli.

Kata Puan Roslinah lagi,
"Orang kata pelaburan saham ni susah, haram, hanya untuk orang kaya, merugikan dan sebagainya. Kalau disenaraikan ada berpuluh malah beratus alasan yang selalu kita dengar.

Iya ke susah? Insyaallah tak susah kalau ada ilmu dan mentor. Mentor ye bukan mentol.

Haram? Dalam lebih kurang 900 buah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham, hampir 80% adalah syariah. Pilihlah yang syariah. Tapi kalau main beli saja macam tikam-tikam, sudah tentulah haram sebab dikira seperti berjudi.

Hanya untuk orang kaya? Ya ke! Minimum amaun untuk melabur saham ialah 100 unit. Kalau harga saham RM1.00, modal hanya RM100 je pun. Makcik cleanerpun boleh beli saham.

Rugi? Yer!! Rugi kalau melabur saham tanpa ilmu, rugi kalau beli semasa harga puncak. Rugilah kalau harga asal saham RM1.00 tetapi kita beli semasa harga RM10.00.

Sekarang dah banyak program `orang Melayu' buat. Pilihlah mana-mana sebagai guru. Ada yang percuma, ada yang murah dan juga ada yang mahal. Pilih mana-mana Mentor yang anda tengok telah sukses dalam pelaburan saham dan telah melahirkan ramai pelabur saham yang berjaya."

Kesimpulannya, anda yang berminat pilihlah untuk menuntut ilmu. Ilmu takkan habis sehingga kiamat. Semakin kita belajar semakin banyak rasanya yang perlu diketahui lagi. Pilihlah juga mentor yang bersesuaian.

Pengalaman saya yang baru berjinak-jinak dalam pelaburan saham (belumpun sampai sebulan) ini memang luar biasa. Semua persepsi negatif telah saya buang dan luputkan dari ingatan. Modal hanya RM600 dah dapat pulangan keuntungan RM300, ROI 50% tu. Kalau tunggu pelaburan saham yang lain, kenalah tunggu setahun sekali. Itupun 7% atau 8% setahun. Kalau kita mempunyai ilmu insyaallah dapat menggandakan pulangan tersebut. 

Peluang terbaik untuk mendalami ilmu pelaburan saham ada di sini. Sesiapa yang berminat bolehlah mendaftar seperti iklan di bawah. Saya bukannya agen tetapi sebagai rakan yang mengajak anda ramai-ramai mencari ilmu dan menambahkan kekayaan anda agar anda dapat meningkatkan taraf ekonomi diri, keluarga, bangsa, agama dan negara.


Semoga kita semua bahagia dan berjaya dengan pilihan yang kita buat. Anda adalah seperti yang anda fikirkan, jadi fikir-fikirkan! :)

Selasa, 21 Januari 2014

Melaka, Kampung Halaman Penuh Tarikan

Cuti Thaipusam yang lepas, kami sempat pulang ke kampung halaman saya di Melaka. Setiap kali melalui tol Ayer Keroh, rasa rindu ke tanah kelahiran saya terubat di jiwa. Melihat panorama sepanjang jalan di Melaka sebelum sampai ke rumah, rasa tenang dan lapang. Amat berbeza dengan perasaan ketika memandu di Kuala Lumpur dan Selangor, hehe...
Anak-anak mengomel untuk menikmati coconut shake Alai yang dijual berdekatan dengan simpang sebelum sampai ke kampung halaman. Malangnya gerai tersebut tutup. Kamipun singgah makan tengahari di restoran Hjh Rahmah di Bukit Katil. Kari ikan dan asam pedasnya antara yang sedap dan laris di Melaka. Kuih-muih juga banyak dijual di sini. Minuman yang paling best mestilah air tebu.  Lauk-pauk juga cepat kehabisan. Pengunjung luar dan penduduk tempatan pula bertali arus setiap masa. 
 azhanaam.blogspot.com
 
 


Licin sebab semua kelaparan. Sesiapa yang berkunjung ke Melaka, bolehlah cuba makanan di restoran ini. Insyaallah anda akan menikmati hidangan yang enak dan menyelerakan. Selepas makan tengahari kami sambung perjalanan balik ke rumah Atuk. Anak-anak yang sudah kekenyangan berhajat untuk singgah ke perigi Hang Tuah. Tiba-tiba datang `mood' celik sejarah pula budak-budak ni. Kamipun layan je. Kebetulan memang sebelum sampai ke rumah, kami akan melewati kampung Duyong. Kampung ini menempatkan perigi Hang Tuah. Wah! Dah cantik tempatnya dan ada bermacam-macam lagi tarikan seperti rumah-rumah sahabat Hang Tuah, Gelanggang Silat dan Pusat Kebudayaan Melayu. Ada yang telah dibuka dan ada yang masih belum dibuka. Ada yang percuma dan ada yang dikenakan bayaran. Yang pasti perigi Hang Tuah masih percuma.
Beginilah cara menimba air telaga..
Dah ada madrasah Perigi Hang Tuah

Gerai Jualan

Pusat Kebudayaan ini memang baru siap dan masih belum dibuka kepada pengunjung. Jadi kami ambil gambar di luar sahaja. Saya amat tertarik dengan binaan rumah Melayu Melaka seperti ini. Dah tentu ia mengembalikan nostalgia saya ketika ke rumah arwah nenek semasa kecil.
                                     Tengoklah tangga batu rumah Melaka yang cantik ini.
Tengok kat luarpun jadilah ye!

 
Gelanggang silat

Akhirnya sebelum balik ke Shah Alam, gerai coconut shake telah dibuka. Cuaca pula elok panas untuk menikmati coconut shake yang best tu. Rasa kelapa dah jadi rasa vanilla ditambah pula dengan topping aiskrim, rasanya memang sedap dan sesuai untuk dessert lepas makan tengahari.  Apa-apapun selaku mak budak, saya rasa gembira sebab seronok tengok anak-anak menikmati coconut shake. Untuk mereka yang ingin tapau, tokehnya dah siap-siap simpan banyak-banyak dalam freezer. Masa belum terkenal dulu rasanya coconut shake Alai antara perintisnya. Sekarang di Kuala Lumpurpun dah ada cuma tak tahulah rasanya sama atau tidak seperti di sini.
Memang kalau balik kampung di Melaka memang seronok. Walaupun saya anak jati Melaka, tetapi rasanya banyak betul tempat yang perlu dikunjungi sama ada untuk tujuan sejarah dan sudah tentu untuk tujuan mengisi perut. Dulu pergipun masa bujang dengan kawan-kawan, sekarang mestilah pergi dengan suami dan anak-anak pula. Banyak tempat menarik untuk dilawati dan tempat makan yang best. Kami balik hanya 2 hari 1 malam, jadi memang tak sempat nak lepak-lepak di medan ikan bakar di belakang rumah. Lagipun nak bagi peluang orang luar yang memang penuh setiap malam. Tips nak pergi makan ikan bakar ialah pergilah seawal jam 6 petang sebab kalau lepas Maghrib memang ramai dan tempahan pula banyak dan lama. Mood yang ok tiba-tiba jadi tak ok sebab lama sangat. Insyaallah di lain masa dan kesempatan kita serbu ikan bakar pula. Jom ramai-ramai datang ke Melaka!

Selasa, 14 Januari 2014

Pentingnya Pemeriksaan Kesihatan

Kali terakhir saya membuat pemeriksaan kesihatan adalah pada penghujung tahun 2012 dengan syarikat tempat bekerja. Alhamdulillah tempat bekerja lama saya menyediakan pemerikasaan kesihatan kepada kakitangannya setiap 2 tahun sekali. Pemeriksaan kesihatan untuk mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas lebih terperinci. Memang beruntung kakitangan kerana mereka dilindungi dengan pakej kesihatan diri dan keluarga termasuk insurans/ takaful. Tetapi itu dulu.

Oleh yang demikian pastikan apabila kita membuat pilihan untuk menjadi suri di rumah atau bekerja sendiri, faktor penjagaan kesihatan diambil kira terutama dari segi pengambilan insurans/ takaful. Kesihatan merupakan sesuatu yang mahal dan yang tidak boleh kita jangka. Di dalam perbelanjaan keluarga perlu dimasukkan kos penjagaan kesihatan. Selain pengambilan insurans/ takaful kesihatan, kita perlu memasukkan kos pemeriksaan kesihatan setiap tahun atau 2 tahun sekali. Apabila pemeriksaan sering dilakukan maka ia dapat mengurangkan risiko penyakit kronik dan penyakit secara mengejut. Malah kita dapat mengetahui sejauhmana tahap kesihatan kita, potensi atau kebarangkali untuk sesuatu jenis penyakit dan berpeluang mengatasi masalah kesihatan tersebut. Pemeriksaan kesihatan ini adalah penting terutama bagi mereka yang berumur 30 tahun dan ke atas. 
Baru-baru ini saya berkunjung ke sebuah pusat penjagaan kesihatan yang menawarkan fasiliti pemeriksaan yang cukup lengkap dari segenap aspek merangkumi dari hujung rambut ke hujung kaki iaitu BP Healthcare Group. Konsep `walk-in' ini memudahkan pelanggan berkunjung tanpa membuat temujanji terlebih dahulu. BP Healthcare ini dibuka 7 hari seminggu iaitu 365 hari setahun. Dahulunya ia merupakan makmal pengujian dan analisis darah tetapi kini telah berkembang menjadi pusat rawatan dan mempunyai banyak cawangan.
BP Healthcare menyediakan banyak jenis pakej pemeriksaan kesihatan, dari serendah RM200 hingga ke ribuan harganya. Kami memilih pakej asas dengan ditambah sedikit analisa terutama bagi perempuan.


Kepada semua suri di rumah, ajak-ajaklah cik abang kita sekali membuat pemeriksaan kesihatan. Tabiat memeriksa kesihatan ini sudah terbiasa di kalangan suri kerana sering diperiksa ketika mengandung dan bersalin tetapi seringkali berlaku di pihak lelaki di mana ramai di kalangan mereka mempunyai kurang kesedaran untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Sebagai contoh ketika menguruskan pemeriksaan kesihatan kakitangan di syarikat lama dahulu, ada di kalangan pekerja lelaki yang menguzurkan diri dan memberi alasan ketika hari pemeriksaan kesihatan dibuat. Ini pernah berlaku kepada diri saya sendiri tetapi alhamdulillah selepas suami mengetahui tahap kesihatannya yang rendah, tabiat ini telah bertukar. Kita akan mendapat tahu tahap kolesterol, glukos, tekanan darah dan sebagainya.

Apapun pilihan hospital atau pusat kesihatan anda, yang utama ialah melakukan pemeriksaan sekerap setahun sekali atau 2 tahun sekali agar kesihatan kita sebagai ibu dan bapa yang menjadi tonggak keluarga berada di tahap yang baik dan memuaskan. Pengambilan insurans/ takaful kesihatan semata-mata tidak mencukupi kerana ia adalah perlindungan setelah kita dikenalpasti dengan penyakit dan dirawat di hospital tertentu. Dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, kita berusaha mempersiapkan kesihatan diri kita di tahap optimum. Dengan kata lain mencegah adalah lebih baik dari merawat. Harapan saya agar semua para suri dapat menjaga diri dan menjaga kesihatan anda. 

`Your wealth is your health'
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...